Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 18 - 22 Disember, 2023

EUR/USD: Pendirian Dovish Rizab Persekutuan yang Berubah

  • Nasib pasangan EUR/USD telah ditentukan oleh dua kejadian pada minggu lalu: mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS dan juga mesyuarat Jawatankuasa Pentadbir Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) keesokan harinya. Hasilnya, mata wang euro muncul sebagai juara: buat pertama kali sejak 29 November, pasangan ini berada lebih tinggi daripada paras 1.1000.

    Rizab Persekutuan membiarkan kadar faedah utama mereka tidak berubah pada kadar 5.5%. Sementara itu, barisan kepimpinan penggubal dasar berkenaan mengakui bahawa mereka ada membincangkan tentang polisi kewangan mereka. Unjuran FOMC untuk masa terdekat ini rupa-rupanya adalah lebih rendah berbanding jangkaan pasaran. Rancangan mereka adalah menjelang akhir tahun 2024, kadarnya akan diturunkan sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali: kepada 4.6% (berbanding 5.1% yang diunjurkan), manakala menjelang hujung tahun 2025, mereka merancang untuk menurunkannya sebanyak empat kali lagi, menjadikan kos pinjaman pada akhirnya berada pada kadar 3.6% (diunjur 3.9%). Dalam masa tiga tahun, kadarnya akan turun kepada 2.9%, dan kemudian antara 2.0-2.25% pada tahun 2027 apabila inflasi mencapai kadar sasaran iaitu 2.0% dengan stabil. Berikutan mesyuarat itu, pasaran menjangkakan pihak Rizab Persekutuan akan mula menurunkan kadarnya buat pertama kali seawal bulan Mac. Menurut FedWatch Tool, buat masa ini terdapat 70% kebarangkalian untuk perkara tersebut berlaku.

    Selain daripada penurunan kadar mendadak yang dijangka akan berlaku, dolar terus menerima lebih banyak tekanan disebabkan oleh hasil perolehan bon Perbendaharaan yang semakin berkurang, juga ditunjukkan akibat daripada pendirian polisi kewangan yang pasti akan berubah di AS. Satu lagi petunjuk kepada pendirian dovish ini adalah reaksi daripada pasaran saham. Kadar yang rendah adalah berita baik untuk bursa saham. Perkara itu mendorong kepada kos pembiayaan yang murah, dan keadaan ekonomi yang murah merangsang kepada permintaan domestik. Akibatnya, kadar indeks pasaran saham S&P 500, Dow Jones, dan Nasdaq melonjak sekali lagi pada minggu lalu.

    Semua orang tahu bahawa Presiden ECB iaitu Christine Lagarde telah terlibat dalam sukan terjun berirama sebelum ini. Sekarang pula, beliau bertindak mengikut “irama” yang sama dengan Rizab Persekutuan: penggubal dasar pan-Eropah itu membiarkan kadar faedahnya tidak berubah pada paras sebelum ini iaitu 4.50%. Walau bagaimanapun, pihak ECB hanya mengunjurkan kadar pertumbuhan KDNK mereka sebanyak 0.6% saja untuk tahun 2023, berbanding 0.7% yang diunjur sebelum ini, dan sebanyak 0.8% untuk tahun 2024 dan bukannya 1.0%. Kadar inflasi untuk tahun 2024 diunjur pada paras 5.4%, 2.7% pada tahun 2024, dan kadar itu dijangka hampir mencapai paras sasarannya iaitu 2.1% pada tahun 2025 (dua tahun lebih awal berbanding di AS).

    Unjuran yang tidak selari dengan Rizab Persekutuan ini berlaku setelah Jawatankuasa Pentadbir bermesyuarat. Dalam komen mereka, barisan kepimpinan ECB tidak menyatakan sebarang tempoh untuk mula menurunkan kadar faedahnya. Selain itu, telah dinyatakan bahawa matlamat Bank Negara Kesatuan Eropah adalah untuk membendung inflasi, bukan mengelak daripada kegawatan, maka kos pinjaman akan dibiarkan pada kadar paling tinggi selagi ia diperlukan. Pendirian ini memberi kelebihan kepada mata wang pan-Eropah serta mengukuhkan nilai euro berbanding dolar.

    Melihat kepada retorik dovish Rizab Persekutuan serta pendirian hawkish ECB yang sederhana, pasangan EUR/USD mungkin kekal berpotensi untuk mengalami pertumbuhan lebih tinggi. Perlu diketahui bahawa keputusan yang diambil Rizab Persekutuan itu bukan saja mengejutkan pasaran. Menurut laporan dalaman daripada Financial Times, komen yang diberikan Jerome Powell selepas mesyuarat FOMC juga memberi kejutan kepada Jawatankuasa Pentadbir ECB. Disebabkan itu, semasa memberikan ucapan, Lagarde menyatakan beberapa sindiran kepada rakan sejawat beliau di Amerika.

    Buat masa ini, Rizab Persekutuan dilihat akan menjadi peneraju dalam melonggarkan polisi kewangan. Jika pasaran tidak menerima isyarat yang sebaliknya, dolar akan terus berdepan tekanan. Namun, amat penting untuk mengambil kira realiti yang berlaku pada tahun 2024 mungkin tidak selari dengan kenyataan yang dibuat pada Disember 2023. Secara objektifnya, pihak ECB memiliki lebih banyak sebab ketara untuk melonggarkan polisi kewangan mereka. Ekonomi di Eropah lebih sukar untuk menerima kadar faedah yang tinggi, lebih lemah berbanding ekonomi Amerika, kadar KDNK mereka sudah pun dinilai semula ke bawah, dan penurunan kadar inflasi di Eurozone berlaku lebih pantas berbanding di AS. Berdasarkan perkara-perkara ini, pakar ekonomi dari Fidelity International, JPMorgan, dan HSBC tidak menolak bahawa semuanya mungkin akan berubah, dan penggubal dasar yang lain seperti ECB dan Bank of England mungkin menjadi yang pertama dalam melonggarkan polisi mereka. Namun, kita tidak akan dapat menerima isyarat itu pada hari ini mahupun esok, tetapi hanya pada tahun hadapan.

    Berkenaan minggu lalu, setelah data aktiviti perniagaan (PMI) di Eropah yang mengecewakan dikeluarkan pada 15 Disember serta keputusan bercampur-campur di AS, pasangan EUR/USD mengakhiri minggu pada paras 1.0894.

    Menurut pakar ekonomi di Bank MUFG, pertumbuhan mendadak EUR/USD ke paras lebih tinggi dilihat agak goyah. “Situasi yang berlaku di Eurozone serta di peringkat global seperti tidak memihak kepada lonjakan mampan EUR/USD ke paras lebih tinggi,” jelas mereka. “Faktor fundamental untuk dijadikan kuasa pendorong pada beberapa minggu akan datang semasa berlangsungnya perayaan Krismas dan Tahun Baru tidak pernah boleh dipercayai, namun jika pertumbuhan terus berlaku sepanjang tempoh ini, kami jangkakan arah pergerakan akan berubah apabila kita bergerak menuju suku tahun pertama tahun hadapan."

    Buat masa ini, perbezaan pendapat dalam kalangan penganalisis mengenai masa depan pasangan ini adalah seperti berikut: 40% bersetuju dengan nilai dolar yang lebih kukuh, 30% memihak kepada euro, dan 30% lagi terus neutral. Dalam kalangan indikator trend pada D1, 100% memihak kepada euro dan pertumbuhan pasangan ini. Bagi pengayun, 60% bersetuju, 30% lagi menjangkakan penurunan, dan 10% lagi melihat pergerakan mendatar. Sokongan paling hampir buat pasangan ini berada di sekitar 1.0800-1.0830, diikuti dengan 1.0770, 1.0725-1.0740, 1.0620-1.0640, 1.0500-1.0520, 1.0450, 1.0375, 1.0200-1.0255, 1.0130, dan 1.0000. Bull akan berdepan rintangan di sekitar paras 1.0925, 1.0965-1.0985, 1.1020, 1.1070-1.1110, 1.1150, 1.1230-1.1275, 1.1350, dan 1.1475.

    Minggu hadapan, Eropah dan Amerika Syarikat akan mengakhiri tahun mereka dan bersedia untuk menyambut hari Krismas. Perkara berkaitan ekonomi yang penting termasuklah penyiaran data inflasi (CPI) di Eurozone pada hari Selasa, 19 Disember. Pada hari Rabu, 20 Disember, kadar Indeks Keyakinan Pengguna di A.S. akan diketahui. Keesokan harinya, kadar KDNK di A.S. bagi suku tahun ketiga serta jumlah tuntutan awal pengangguran akan dikeluarkan. Minggu bekerja akan berakhir pada hari Jumaat, 22 Disember dengan pelbagai data komprehensif dari pasaran pengguna A.S.

GBP/USD: BoE Enggan Berpendirian Dovish

  • Seperti yang berlaku antara Rizab Persekutuan dan ECB, situasi yang dihadapi Rizab Persekutuan dengan Bank of England (BoE) juga adalah sama sepenuhnya. Perkara yang benar-benar sama yang telah dibincangkan sebentar tadi turut berlaku pada pasangan ini. Dalam mesyuaratnya, penggubal dasar British itu turut membiarkan kadar faedah mereka tidak berubah pada paras 5.25%. Dan seperti ECB, mereka tidak memberi sebarang alasan yang dapat merangsang jangkaan dovish untuk tahun 2024. Gabenor BoE iaitu Andrew Bailey sedar bahawa Bank of England masih lagi perlu menempuh laluan berliku, dan tiga daripada sembilan orang ahli Jawatankuasa Polisi Kewangan mengundi untuk kenaikan kadar yang lebih tinggi.

    Indikator yang ditunjukkan di United Kingdom adalah bercampur-campur. Mengikut statistik, pertumbuhan kadar gaji sebenar yang telah diselaraskan mengikut inflasi terus menunjukkan peningkatan secara tahunan. Namun, sementara pertumbuhan ekonominya diunjur naik sebanyak 0.1%, ia sebenarnya menguncup sebanyak 0.3% setelah naik 0.2% pada bulan sebelumnya. Disamping itu, jumlah pengeluaran industri pada bulan Oktober susut sebanyak 0.8%, manakala jumlah tahunannya turun daripada 1.5% kepada 0.4%, lebih teruk berbanding 1.1% yang diunjur. Data yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 15 Disember menunjukkan aktiviti dalam sektor perkhidmatan menjadi semakin bertambah baik untuk bulan Disember. Kadar indeks PMI mencecah paras 52.7, lebih tinggi berbanding 51.0 yang diunjur dan kadar terbaik dalam tempoh lima bulan. Walau bagaimanapun, aktiviti dalam sektor pembuatan pula sebaliknya susut daripada 47.2 kepada 46.4, walaupun pasaran menjangkakan pertumbuhan kepada 47.5.

    Sementara itu, “semangat inflasi masih lagi dapat dirasai”. Melihat kepada perkara ini, Bank of England mungkin tidak akan melonggarkan polisi ketat mereka yang dijadikan sebagai penghalang daripada kadar inflasi untuk terus naik lebih tinggi. Penganalisis bersetuju dengan hakikat itu. Persoalan yang masih belum terjawab adalah bilakah penggubal dasar ini akan menurunkan kadar faedah mereka.

    Paras terakhir GBP/USD untuk minggu lalu berada pada kedudukan 1.2681. Menurut pakar ekonomi di ING, paras antara 1.2820-1.2850 memiliki rintangan yang kuat buat GBP/USD. Jika kedudukan ini ditembusi, mereka percaya pasangan itu boleh mencapai ketinggian 1.3000, satu berita gembira buat bull untuk Hari Krismas nanti. Namun, penganalisis di Bank Nomura Jepun berasa sangsi dengan prospek pertumbuhan pasangan ini, mereka percaya pasangan ini akan didagangkan di sekitar paras 1.2700 dan 1.2800 pada Q1 dan Q2 2024.

    Semasa ulasan ini dibuat, unjuran median para penganalisis tidak begitu jelas: 25% bersetuju dengan pertumbuhan pasangan ini, 25% lagi penurunannya, dan 50% pula hanya berdiam diri. Dalam kalangan indikator trend pada D1, seperti pasangan sebelum ini, 100% menunjukkan pertumbuhan. Dalam kalangan pengayun, 65% menunjukkan pertumbuhan, 30% penurunan, dan baki 15% lagi kekal neutral. Jika pasangan ini turun ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2600-1.2625, 1.2545-1.2575, 1.2500-1.2515, 1.2450, 1.2370, 1.2330, 1.2210, 1.2070-1.2085, 1.2035. Jika ia naik ke atas, pasangan ini akan berdepan rintangan pada paras 1.2710-1.2535, then 1.2790-1.2820, 1.2940, 1.3000, dan 1.3140.

    Kalendar minggu hadapan tertumpu kepada hari Rabu, 20 Disember sebagai hari yang penting apabila kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di United Kingdom akan diketahui. Pada hari Jumaat, 22 Disember, hari bekerja di UK adalah sedikit pendek disebabkan persediaan Hari Krismas. Namun, penyiaran makrostatistik ekonomi penting akan dibuat pada pagi hari itu, termasuklah data jualan runcit serta kadar KDNK.

USD/JPY: Yen Dijadual Akan Berjaya Pada Tahun 2024

  • Pada 13 November, pasangan USD/JPY mencecah ketinggian 151.90. Namun, dalam tempoh lima minggu, yen Jepun telah berjaya memperoleh semula 1000 mata daripada dolar. Hari Khamis, 7 Disember menandakan kejayaan buat yen, kedudukannya menjadi lebih kukuh berbanding keseluruhan pasaran, berada lebih tinggi berbanding dolar kira-kira 225 mata. Pada waktu itu, paras minimum yang direkodkan untuk pasangan ini adalah 141.62. Minggu lalu, ia mengikuti jejak Rizab Persekutuan dan Indeks Dolar DXY, mengakhiri lima hari dagangan pada paras 142.14.

    Punca utama kepada lonjakan yen ini adalah pertambahan jangkaan Bank of Japan (BoJ) akhirnya tidak lagi akan melaksanakan polisi kadar faedah negatif, dan diramal akan berlaku lebih awal daripada jangkaan. Khabar angin menyatakan bahawa bank-bank serantau di negara itu memberi tekanan kepada penggubal dasarnya dengan melobi untuk tidak lagi menggunakan polisi kawalan lengkung hasil perolehan bon. Dilihat seperti ingin mengesahkan khabar angin ini, pihak BoJ menjalankan kaji selidik khas pada awal Disember dalam kalangan peserta pasaran untuk membincangkan kesan daripada peralihan polisi kewangan tersangat longgar serta akibat jika mengambil langkah sebegitu.

    Yen juga menerima kelebihan daripada hasil mesyuarat Rizab Persekutun dan ECB baru-baru ini yang mengukuhkan lagi keyakinan pasaran bahawa kadar faedah dolar dan euro telah berada pada paras tertinggi dan dijangka hanya akan turun pada masa hadapan. Perbezaan kadar faedah ini membolehkan jangkaan dibuat bahawa para pelabur akan merehatkan strategi dagangan mereka serta mengurangkan spread hasil perolehan antara bon kerajaan Jepun dan rakan mereka di AS dan Eurozone. Perkembangan seperti itu seharusnya mendorong kepada modal untuk mengalir masuk ke dalam yen semula.

    Mesyuarat Bank of Japan (BoJ) kali terakhir untuk tahun ini dijadual akan berlangsung pada hari Selasa, 19 Disember. Namun, penggubal dasar itu mungkin akan mengekalkan parameter polisi kewangannya tidak berubah pada mesyuarat kali ini. Pakar ekonomi di Bank MUFG Jepun menjangkakan BoJ untuk menamatkan polisi YCC (Yield Curve Control) dan NIRP (Negative Interest Rate Policy) pada mesyuarat bulan Januari nanti. Perkara ini sudahpun diambil kira sebahagiannya dalam sebut harga, tetapi kenyataan daripada Bank of Japan selepas mesyuarat bulan Disember mampu menambah jangkaan mengenai pengetatan polisi mereka pada tahun 2024. MUFG percaya bahawa yen berpotensi besar untuk mengalami pertumbuhan pada tahun hadapan berbanding mata wang G10 yang lain. “Perubahan pergerakan inflasi di peringkat global telah mengejutkan semua, dan perkara ini memberi kesan ketara kepada JPY,” jelas pakar strategi bank itu.

    Untuk minggu depan, 30% penganalisis menjangkakan nilai yen menjadi lebih kukuh, 10% memihak kepada dolar, dan majoriti (60%) berpendirian neutral. Mengenai indikator trend pada D1, warna merah sekali lagi mendominasi dengan jumlah 100%. Dalam kalangan pengayun, jumlah 100% yang sama adalah berwarna merah, namun 25% daripadanya sudah pun menunjukkan keadaan lebihan jualan. Sokongan paling hampir berada di zon antara 141.35-141.60, diikuti dengan paras 140.60-140.90, 138.75-139.05, 137.25-137.50, 135.90, 134.35, dan 131.25. Paras dan zon rintangan berada di antara 143.75-144.05, diikuti dengan 145.30, 146.55-146.90, 147.65-147.85, 148.40, 149.20, 149.80-150.00, 150.80, 151.60, dan 151.90-152.15.

    Selain daripada mesyuarat Bank of Japan pada 19 Disember nanti serta sidang akhbar oleh barisan kepimpinannya, tiada sebarang perkara penting lain berkaitan ekonomi Jepun yang dijangka akan diketahui pada minggu depan.

MATA WANG KRIPTO: Adakah ETF Bitcoin Akan Menggantikan Binance?

  • Sebelum berakhirnya hari Jumaat, 8 Disember, kedudukan mata wang kripto utama iaitu bitcoin telah mencapai ketinggian $44,694. Kali terakhir ia didagangkan di atas paras $40,000 adalah pada April 2022. Hanya dua hari selepas itu, pada pagi 11 Disember, para pelabur terkejut setelah mendapati bitcoin berada pada paras $40,145, mengakibatkan kekecewaan yang begitu mendalam.

    Penurunan mendadak nilainya tidak lebih daripada 5 minit. Terdapat beberapa teori yang menjelaskan kejadian ini. Salah satunya adalah data kukuh dari pasaran buruh A.S. yang dikeluarkan pada 8 Disember telah menjadi pencetus. Satu lagi kemungkinan adalah sama ada berlakunya reaksi takut atau kesilapan teknikal dalam jumlah dagangan yang mungkin dilakukan oleh bot dagangan atau pedagang itu sendiri, mengakibatkan pelaksanaan stop order berterusan sebagai langkah perlindungan di pasaran niaga hadapan. Menurut Coinglass, posisi long dengan nilai lebih daripada $400 juta telah dicairkan sepanjang tempoh 24 jam, termasuklah $85.5 juta dalam bentuk bitcoin.

    Penganalisis kami mencadangkan bahawa penjelasan paling realistik adalah seperti berikut: sejak pertengahan Ogos, nilai bitcoin telah bertambah kira-kira 85% dan melebihi 160% sejak awal tahun ini. Dalam menantikan berakhirnya tahun ini, sesetengah pelabur utama dilihat mengambil keputusan untuk mendapatkan pulangan. Lebih ketara lagi, dua hari sebelum kejadian itu berlaku, ketua syarikat DecenTrader yang dikenali sebagai FibFilb telah memberikan amaran: “Kita telah melihat pertumbuhan yang ketara pada tahun ini, dan pembetulan dijangka akan berlaku […] Sudah lama perkara itu tertunggak,” beliau menyatakan pada 9 Disember.

    Sentimen negatif itu mungkin telah diperkuatkan lagi dengan berita mengenai denda sebanyak $4.3 bilion yang dikenakan gagal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi bursa kripto Binance. Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC) A.S. terus memfailkan saman terhadap bursa itu bagi tuduhan dagangan sekuriti tidak sah dan juga lain-lain kesalahan.

    Para pegawai di Jabatan Kehakiman A.S. berniat untuk benar-benar meneliti operasi dagangan platform tersebut bagi menentukan jika ia mematuhi standard undang-undang. Bursa tersebut akan dipaksa untuk membenarkan akses berterusan terhadap segala dokumen dan rekod, termasuklah maklumat berkenaan para pekerja syarikat, agen-agen, pihak perantara, perunding, rakan kongsi dan juga kontraktor, serta senarai pedagang kepada wakil daripada Jabatan Kehakiman, Rangkaian Penguatkuasaan Jenayah Kewangan, dan penggubal dasar kewangan serta agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain.

    Minggu lalu, bekas ketua SEC iaitu John Reed Stark menyatakan tentang pendapat beliau mengenai potensi pengakhiran Binance, merujuk kepada permintaan para pegawai kerajaan A.S. terhadap platform itu. Senarai permintaan-permintaan itu sendiri adalah sebanyak 13 muka surat, termasuklah prosedur yang belum pernah dikenakan kepada syarikat lain. Ini mendorong kepada sindiran oleh Stark terhadap situasi tersebut dengan menggelarnya sebagai “kolonoskopi kewangan."

    Penting untuk mengetahui bahawa serangan ke atas Binance pada tahun 2023 telah menyebabkan saham syarikat itu dalam pasaran spot susut daripada 55% kepada 32%. Dalam pasaran derivatif, sahamnya berada pada kadar 47.7%, menunjukkan prestasi paling teruk sejak Oktober 2020.

    Membincangkan tentang intensifikasi tekanan dari segi undang-undang, CEO JPMorgan iaitu Jamie Dimon menyatakan bahawa jika beliau berada di pihak kerajaan A.S., beliau pastinya akan “mengharamkan terus semua mata wang digital kerana ia memberi bantuan kepada golongan penipu dan pengganas”. Namun, pihak berkuasa A.S. masih belum bertindak sedemikian. Kenapa?

    Ada pepatah terkenal yang dikaitkan dengan ahli fikir, ahli politik, dan ahli falsafah Itali iaitu Niccolò Machiavelli: “Jika anda gagal untuk menghalangnya, jadilah pemimpinnya”. Beliau menyebut pepatah tersebut pada 500 tahun yang lalu, namun ia masih lagi relevan pada masa kini. Sebagai contoh, walaupun dengan semua larangan, China terus menjadi sebahagian daripada negara yang aktif dan penting dalam industri kripto. A.S. dilihat telah mempertimbangkan adalah lebih mudah untuk memimpin serta mengawal proses ini daripada mengharamkan aset digital, memutuskan sambungan internet, dan merampas komputer serta telefon pintar. Justeru, para penganalisis percaya, idea untuk ETF spot dagangan bursa bitcoin pun dilahirkan. Dana-dana seperti itu akan membolehkan pelabur-pelabur kripto dipantau, meneliti transaksi mereka, dan bukan saja mengenakan cukai malah juga akan menentukan kesahihan transaksi-transaksi itu. Maka, logik para pegawai tersebut jelas dapat dilihat. Dalam situasi yang amat jarang berlaku, jutaan pelabur-pelabur kecil turut menyokong proses ini, dan berharap pelaburan mereka akan berkembang dengan ketara disebabkan oleh situasi BTC-ETF dan juga tekanan pihak berkuasa ini.

    Kembali pada kejadian yang berlaku pada 11 Disember, pedagang, penganalisis, dan juga pengasas kepada syarikat Eight iaitu Michael Van De Poppe menyeru kepada komuniti supaya “tidak bimbang”. Beliau menjelaskan bahawa pembetulan akan berlaku, terutama sekali pembetulan ketara dalam pasaran altcoin yang tidak cair. Setelah berlakunya kejadian itu, penganalisis ini membuat perubahan dalam unjuran harga bitcoin. Menurut analisis beliau, zon sokongan utama dalam tempoh masa panjang buat masa ini berada di antara $36,500-38,000. “Sedikit demi sedikit momentum bitcoin akan hilang, dan Ethereum pula dengan mudah akan berada di hadapan pada suku tahun seterusnya,” tambah beliau lagi.

    Penganalisis kripto iaitu William Clemente juga tidak berasa bimbang tentang penurunan nilai bitcoin, mengatakan bahawa perkara itu tidak dapat dielakkan. Pada pandangan beliau, pembetulan yang berlaku akan menjadi asas kukuh bagi permulaan trend bullish yang seterusnya kerana proses tersebut telah menyingkirkan posisi long yang telah dibuka oleh pedagang menggunakan leveraj.

    Eli Taranto, Pengarah di Bank EQI bersetuju dengan ramalan Poppe dan turut menjangkakan nilai bitcoin akan susut. “Disebabkan pedagang telah mula mengeluarkan pulangan serta menunggu keputusan berkenaan permohonan ETF, harga bitcoin akan terus mengalami turun naik, tertakluk kepada efek rama-rama [satu fenomena apabila berlakunya perubahan kecil dalam sistem yang mampu memberi kesan besar dan tidak dijangka walaupun bukan berada di lokasi yang sama]. Penurunan nilai BTC ke paras $39,000 jelas boleh berlaku,” jelas Taranto.

    Benar, kata-kata Pengarah Bank EQI itu ada betulnya: bitcoin terus mengalami “turun naik dengan cepat”, seperti yang dilihat pada carta BTC/USD sebelum dan selepas pihak Rizab Persekutuan A.S. bermesyuarat pada minggu lalu. Hasilnya, ditambah dengan nilai dolar yang lemah, pasangan ini sekali lagi bergerak ke atas, mencecah ketinggian $43,440 pada hari Rabu, 13 Disember.

    Semasa ulasan ini dibuat pada malam 15 Disember, pasangan ini didagangkan di sekitar paras $42,200. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $1.61 trilion, turun daripada $1.64 trilion minggu lalu. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto turun daripada 72 mata kepada 70 mata dan kekal berada di zon Greed.

    Mengenai masa depan emas digital untuk minggu hadapan, penganalisis gergasi bank pelaburan Goldman Sachs baru-baru ini telah mengeluarkan satu laporan baru yang mencadangkan sebut harga bitcoin boleh terus bertambah dalam jangka masa terdekat. Penganalisis di CryptoQuant telah menyatakan tentang kemungkinan nilai bitcoin menembusi paras $50,000 pada permulaan tahun 2024. Unjuran yang dibuat ini adalah berdasarkan kepada analisis aktiviti pemilik BTC dan juga telah mengambil kira dinamik jumlah transaksi, jumlah modal pasaran, serta Hukum Metcalfe dalam konteks mata wang kripto. “Bitcoin mensasarkan untuk berada pada julat antara $50,000-$53,000,” maklum para penganalisis itu.

    Namun, CryptoQuant percaya bahawa buat masa ini pasaran sedang menghampiri “fasa bullish berlebihan” di mana dari segi sejarah, ia sering ditemani dengan keadaan melata serta pembetulan. Para penganalisis itu menekankan bahawa jumlah bekalan coin “yang memberi untung” telah melebihi 88%. Hal ini memberi isyarat tentang potensi tekanan untuk menjual, dan justeru, pembetulan jangka pendek yang mungkin boleh berlaku. Mengikut pemerhatian mereka, kadar untung belum terealisasi seperti itu “dari segi sejarah bertepatan dengan paras tertinggi mingguan."

    Bagi membuat kesimpulan, mari kita lihat satu lagi peristiwa bersejarah - satu ketika semasa emas digital ini didagangkan pada kadar $0.20. Tiga belas tahun lalu, pada 12 Disember 2010, pengasas mata wang kripto pertama yang dikenali dengan nama gelaran Satoshi Nakamura telah menerbitkan hantaran terakhir beliau dalam satu forum sebelum menghilangkan diri daripada masyarakat umum. Mesej itu tidak memberi bayangan tentang lonjakan nilainya ke paras yang ada sekarang. Ia mengandungi huraian tentang kemas kini serta kod bagi elemen pengurusan Denial-of-Service (DoS). Sesetengah penganalisis percaya bahawa pengasas blockchain itu telah merancang untuk meninggalkan pasukan atas sebab pertikaian dan perselisihan faham dengan para pembangun yang lain serta dikritik kerana mengawal projek dengan ketat dan membuat keputusan secara unilateral.

    Tidak kira apa pun, seperti yang disedari oleh seorang pengguna forum BitcoinTalk apabila teringat tentang hantaran terakhir pengasas mata wang kripto itu, “Sumbangan Satoshi terhadap disentralisasi serta semangat beliau dalam memerangi diktaktor kewangan bukan sekadar keajaiban teknologi. Ia adalah satu gerakan bagi kebebasan dan kedaulatan ekonomi. […] Kehilangan beliau bukan hanya satu tindakan untuk memelihara diri tetapi juga sebagai peringatan bahawa bukan semua yang berlaku dalam hidup adalah tentang kemasyhuran peribadi."

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.