EUR/USD: Minggu yang Teruk Untuk Dolar
● Minggu lalu telah didominasi dengan mesyuarat Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) yang diadakan pada hari Khamis, 7 Mac. Seperti yang dijangka, penggubal dasar pan-Eropah itu mengambil keputusan untuk membiarkan polisi kewangan sedia ada mereka tidak berubah, mengekalkan kadar faedah pada paras 4.50%. Langkah ini menguatkan lagi komitmen mereka untuk mengekang kadar inflasi ke paras yang disasarkan. Matlamat pihak ECB adalah untuk berasa benar-benar yakin bahawa inflasi turun secara konsisten ke paras 2.0% yang disasarkan, dan kini berada pada kadar 2.6%.
Menurut para penganalisis di Bank ANZ, kadar euro dijangka akan susut pada Q2. “Tafsiran kami terhadap kenyataan rasmi yang diberikan oleh para pegawai ECB baru-baru ini adalah pendirian hawkish sedang bertambah dan mereka sanggup untuk mendapatkan data pertumbuhan gaji yang lebih terperinci sebelum mula menurunkan kadar faedah. Kami percaya keputusan akan dibuat pada bulan Jun,” jelas pakar ekonomi di Bank ANZ.
Jangkaan ini turut disuarakan oleh Gediminas Šimkus, salah seorang ahli Jawatankuasa Pentadbir ECB dan juga ketua bank negara Lithuania pada hari Jumaat, 8 Mac. Beliau menyatakan bahawa “keadaan yang ada sekarang sudah bersedia untuk beralih kepada polisi kewangan yang lebih longgar, dengan penurunan kadar faedah dijangka mungkin akan dibuat pada bulan Jun. Walaupun kami tidak menolak penurunan boleh dibuat pada bulan April, kebarangkaliannya adalah sangat rendah”. Beliau menambah lagi bahawa tiada sebab untuk menurunkan kadar secara terus melebihi 25 mata asas.
● Penting untuk ketahui bahawa menjadi kebiasaan untuk pihak Rizab Persekutuan bertindak lebih agresif daripada ECB, mengubah kadar faedah mereka dengan lebih kerap dan lebih tinggi. Anda hanya perlu melihat kepada statistik sejak 10 tahun lalu untuk mengetahuinya.Menurut penganalisis di Commerzbank, ini bermakna jika kedua-dua bank negara memulakan pelonggaran polisi mereka pada masa yang sama, kadar dolar boleh turun lebih rendah berbanding euro dengan lebih cepat, dan ini boleh menyokong kepada pertumbuhan kadar tukaran EUR/USD.
Walau bagaimanapun, masih belum jelas bagaimanakah kitaran yang akan berlaku kali ini. Fedwatch Tool oleh CME menganggarkan kebarangkalian sebanyak 56% Rizab Persekutuan akan menurunkan kadar mereka pada bulan Jun. Namun, semasa berucap di hadapan Kongres AS pada 6-7 Mac lalu, Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell hanya samar-samar menyatakan bahawa penggubal dasar itu boleh melonggarkan polisi kewangan mereka “pada bila-bila masa dalam tahun ini".
Satu kenyataan oleh Loretta Mester, presiden Bank Rizab Persekutuan Cleveland terbukti lebih menarik. Berucap di Pusat Ekonomi dan Kewangan Eropah, beliau menyatakan kebimbangan tentang penurunan stabil kadar inflasi yang terus berlaku sepanjang tahun. Justeru, pada pendapat Mester, adalah lebih sesuai untuk mengekalkan kadar faedah 5.50% yang ada sekarang. Ketua Bank Rizab Persekutuan Cleveland itu turut menjangkakan bahawa jika keadaan ekonomi adalah selari dengan unjuran, kemungkinan untuk kadar diturunkan sehingga hujung tahun akan meningkat.
● Berkenaan dengan statistik makroekonomi yang dikeluarkan pada minggu lalu, penilaian akhir Eurostat menunjukkan bahawa ekonomi Eurozone mengalami pertumbuhan sebanyak 0% secara suku tahunan sepanjang tiga bulan terakhir tahun 2023. Secara tahunan, kadar KDNK naik sebanyak 0.1%. Kedua-duanya menyamai kadar anggaran awal serta jangkaan pasaran, maka tiada sebarang kesan yang dihadapi oleh kadar tukaran.
Sepanjang minggu, dolar berdepan dengan tekanan, bukan saja akibat testimoni Jerome Powell yang “membosankan” di hadapan Kongres. Data makroekonomi di AS ternyata agak lemah. Sebagai contoh, kadar Indeks Aktiviti Perniagaan ISM dalam Sektor Perkhidmatan untuk bulan Februari susut daripada 53.4 mata kepada 52.6 mata. Order bagi pembuatan untuk bulan Januari juga turun sebanyak 3.6%, lebih teruk berbanding 2.9% yang diunjurkan. Jumlah penawaran kerja (JOLTS) di AS untuk bulan lalu adalah 8.863 juta, turun daripada 8.889 juta pada bulan sebelumnya, manakala tuntutan awal bagi pengangguran untuk minggu berakhir 2 Mac naik kepada 217K, lebih tinggi berbanding 215K yang diunjur. Kesemua faktor-faktor ini telah mengakibatkan gandingan EUR/USD bergerak dalam julat yang sempit di antara 1.0800-1.0865, julat dagangannya sejak 20 Februari lalu, dan naik ke paras 1.0900.
● Statistik pasaran buruh yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 8 Mac mungkin boleh memberi sokongan kepada dolar, namun perkara itu tidak berlaku, walaupun reaksi pasaran agak membingungkan. Dari satu sudut, jumlah pekerjaan baru yang ada bukan dalam sektor agrikultur (NonFarm Payrolls) adalah 275K, lebih tinggi berbanding jumlah sebelum ini iaitu 229K dan 198K yang diunjur. Kebiasaannya, indikator seperti itu boleh menolak gandingan EUR/USD ke bawah. Namun sebaliknya, kadarnya naik mendadak pada kali ini. Hal ini mungkin berkaitan dengan kadar pengangguran yang naik daripada 3.7% kepada 3.9% (diunjur 3.7%) dan purata gaji mengikut jam yang menunjukkan penurunan mendadak daripada 0.5% (bulan ke bulan) kepada 0.1% (diunjur 0.2%). Kesan negatif daripada kedua-dua indikator terakhir itu adalah lebih teruk berbanding kesan positif daripada NFP. Peserta pasaran memutuskan bahawa perkara-perkara ini boleh menjadi pendorong kepada penurunan kadar faedah yang pasti akan dilaksanakan, mengakibatkan kadar EUR/USD melonjak ke paras 1.0980.
● Selepas itu, kegembiraan mula berakhir, dan gandingan EUR/USD ditutup pada paras 1.0937. Untuk minggu hadapan, sehingga malam Jumaat, 8 Mac, 35% penganalisis bersetuju dengan nilai dolar yang lebih kukuh serta penurunan kadar gandingan ini, manakala 65% pula memihak kepada euro. Indikator trend dan pengayun pada carta D1 adalah 100% berwarna hijau, dengan satu perempat daripada pengayun berada dalam di zon lebihan belian. Paras sokongan paling hampir dengan gandingan ini berada di zon antara 1.0845-1.0865, diikuti dengan 1.0800, kemudian 1.0725, 1.0680-1.0695, 1.0620, 1.0495-1.0515, dan 1.0450. Zon rintangan berada di sekitar 1.0970-1.1015, 1.1050, dan 1.1100-1.1140, sehingga 1.1230-1.1275.
● Keadaan minggu hadapan dijangka agak bergelora. Keadaan yang sangat meruap dijangka akan berlaku pada hari Selasa, 12 Mac apabila data inflasi pengguna (CPI) di Jerman dan AS akan diketahui. Pada hari Khamis, 14 Mac, statistik jualan runcit serta kadar Indeks Harga Pengeluar (PPI) di Amerika Syarikat akan dikeluarkan. Minggu depan akan berakhir dengan penyiaran kadar Indeks Sentimen Pengguna University of Michigan pada hari Jumaat, 15 Mac.
GBP/USD: Minggu yang Baik Buat Pound
● Memulakan minggu pada paras 1.2652, gandingan GBP/USD merekodkan paras tertingginya iaitu 1.2893 pada hari Jumaat, naik 241 mata dan menembusi sempadan saluran mendatar jangka sederhana antara 1.2600-1.2800. Punca pertama bagi dinamik seperti itu adalah nilai dolar yang lemah, seperti yang disebutkan tadi. Sebab kedua adalah statistik ekonomi yang positif dari UK: kadar PMI dalam sektor Pembinaan naik daripada 48.8 kepada 49.7. Kenaikan ini menunjukkan sektor hartanah hampir pulih sepenuhnya daripada keadaan stagflasi, dan akhirnya akan memberi sokongan besar terhadap ekonomi di negara itu kemudiannya.
● Terdapat juga sebab ketiga. Dalam ulasan kami sebelum ini, kami memberi amaran bahawa peristiwa penting untuk pound minggu lalu adalah pembentangan belanjawan oleh pihak Kerajaan UK pada hari Rabu, 6 Mac. Belanjawan sebelum pilihan raya ini boleh memberi kesan besar kepada mata wang British, mata wang negara G10 kedua paling berjaya selepas dolar AS untuk tahun 2024.
Menteri Kewangan iaitu Jeremy Hunt membentangkan belanjawan awal kerajaan, menggelarnya sebagai pelan pertumbuhan jangka panjang. Hunt mengumumkan pelbagai jenis faedah dan subsidi berjumlah £1.8 bilion, serta peruntukan sebanyak £360 juta bagi membiayai penyelidikan dan pembangunan dalam sektor bioperubatan, pembuatan kereta, dan penghasilan aeroangkasa. Bantuan kerajaan juga akan melibatkan isi rumah British dengan mengurangkan sebahagian cukai. Disamping itu, kerajaan akan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan aktif bagi memastikan kemakmuran rakyat di negara itu. Lebih tepat lagi, pengurangan sementara ke atas duti bahan api serta alkohol akan diteruskan.
Hunt juga menyatakan bahawa kadar inflasi boleh turun ke paras 2.0% menjelang akhir tahun ini, manakala kadar KDNK di UK untuk tahun ini boleh berkembang sebanyak 0.8%. Keseluruhannya, angka-angka serta kata-kata Menteri kewangan itu agak mengagumkan, seperti yang berlaku sebelum berlangsungnya pilihan raya, dan membolehkan pound bersaing hebat dengan dolar.
● Namun bolehkah semua ini bertahan untuk mata wang British? Pakar ekonomi di HSBC sedar bahawa UK masih lagi berdepan dengan kombinasi kadar inflasi dan juga pertumbuhan yang mencabar. Hal ini mengehadkan keupayaan Bank of England (BoE) untuk mengekalkan pendirian hawkish secara maksimum berbanding bank-bank negara lain. Jika pendirian itu berubah menjadi lebih dovish, pound mungkin akan menghadapi tekanan penurunan beberapa bulan akan datang.
● Kadar GBP/USD ditutup pada paras 1.2858 minggu lalu. Pendapat penganalisis berkenaan pergerakannya untuk minggu depan adalah seperti berikut: majoriti (60%) menjangkakan penurunan, 20% menjangkakan pertumbuhan, dan 20% lagi kekal neutral. Dalam kalangan indikator trend dan pengayun pada carta D1, situasinya adalah sama dengan EUR/USD: kesemua menunjukkan pertumbuhan, walaupun 25% daripada pengayun menunjukkan keadaan lebihan belian. Jika gandingan ini turun ke bawah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2800-1.2815, 1.2750, 1.2695-1.2710, 1.2575-1.2610, 1.2500-1.2535, 1.2450, 1.2375, dan 1.2330. Jika ia bergerak ke atas, rintangan akan berada pada paras 1.2880-1.2900, 1.2940, 1.3000, dan 1.3140.
● Pada hari Rabu, 13 Mac, data KDNK di UK untuk bulan Januari 2024 akan dikeluarkan. Ekonomi di negara tersebut dijangka berkembang sebanyak 0.2%, tidak seperti penurunan sebanyak -0.1% pada bulan Disember, mengesahkan sikap optimis Jeremy Hunt. Tiada sebarang statistik makroekonomi penting lain mengenai ekonomi UK yang dijadual akan diketahui pada minggu depan.
USD/JPY: Minggu Hebat untuk Yen
● Jika minggu lalu adalah minggu yang baik buat pound, ia adalah minggu hebat buat yen Jepun. Kadar USD/JPY mencecah paras minimum mingguannya iaitu 146.47 pada petang Jumaat, 8 Mac, yang bermaksud yen berjaya pulih lebih daripada 360 mata daripada dolar.
Selain daripada nilai dolar yang lemah, yen menerima sokongan daripada khabar angin bahawa Bank of Japan (BoJ) akan memutuskan untuk menormalkan polisi kewangan mereka tidak lama lagi. Memetik sumber yang dipercayai, Reuters melaporkan bahawa “jika hasil rundingan penggajian musim bunga [pada 13 Mac] adalah baik, mungkin Bank of Japan tidak perlu menunggu sehingga bulan April” bagi menamatkan polisi kadar faedah negatif mereka, dan BoJ “lebih berat untuk menamatkan kadar negatif mereka seawal bulan Mac."
Satu lagi laporan oleh Jiji News menyatakan bahawa “Bank of Japan sedang mempertimbangkan rangka kerja kuantitatif yang baru bagi polisi kewangan mereka yang akan menggariskan prospek pembelian bon kerajaan pada masa hadapan”. Jiji meneruskan, “Bank of Japan akan menilai semula polisi Kawalan Lengkung Perolehan (Yield Curve Control atau YCC) sebagai sebahagian daripada polisi kuantitatif yang baru.".
● Maka, hari Rabu, 13 Mac boleh menjadi hari penting bagi mata wang Jepun sama seperti 19 Mac, apabila Bank of Japan dijadual akan bermesyuarat. Terdapat kemungkinan penggubal dasar itu akan menaikkan kadar faedah mereka buat pertama kalinya sejak tahun 2016 pada hari itu. Namun, penganalisis di Natixis Bank Perancis percaya bahawa jika berlakunya kenaikan, nilainya adalah begitu kecil. “Secara realiti, susut nilai yen memberi manfaat kepada ekonomi Jepun,” jelas penganalisis bank itu. “Ia membantu menurunkan semula kadar inflasi ke paras sasaran 2% serta merangsang sektor eksport. Disebabkan Jepun memiliki nilai aset bersih asing yang besar, terutama sekali dalam dolar dan euro, susut nilai yen memberikan keuntungan modal bagi aset-aset luar ini dalam bentuk yen”. Natixis membuat kesimpulan, “Akibatnya, tiada sesiapa yang harus menjangkakan Jepun akan mengetatkan polisi kewangan mereka. Paling tidak pun, kenaikan simbolik dalam kadar asas mereka saja yang boleh diharapkan."
Commerzbank berpendapat yang hampir sama, mereka percaya bahawa potensi yen adalah terhad, dan pertumbuhan nilai yang kukuh terutama sekali dalam jangka masa sederhana dan panjang tidak sepatutnya dijangkakan. Menurut pakar ekonomi di Commerzbank, ia disebabkan oleh kurangnya kapasiti yang dimiliki Bank of Japan bagi menormalkan kadar faedah.
● Kadar USD/JPY ditutup pada paras 147.06 minggu lalu. Untuk minggu depan, agak sukar untuk mencapai kata sepakat: 20% memihak kepada bear, 20% memihak kepada bull, dan baki 60% lagi enggan memberikan unjuran mereka. Dalam kalangan pengayun pada carta D1, hanya 15% yang berwarna hijau, manakala baki 85% lagi berwarna merah, dan 40% daripadanya menunjukkan keadaan lebihan jualan. Nisbah kekuatan antara indikator trend adalah sama: 85% berwarna merah berbanding baki 15%. Sokongan paling hampir berada pada paras 146.50, 145.90, 144.90-145.30, 143.40-143.75, 142.20, dan 140.25-140.60. Rintangan berada pada paras dan zon 147.65, 148.25-148.40, 149.20, 150.00, 150.85, 151.55-152.00, dan 153.15.
● Untuk calendar minggu hadapan, perkara yang boleh diberi tumpuan termasuklah pengumuman kadar KDNK di Jepun untuk Q4 2023 pada hari Isnin, 11 Mac. Selain itu, seperti yang telah dinyatakan, rundingan penggajian pada 13 Mac juga sama pentingnya. Tiada perkara penting lain berkenaan ekonomi Jepun yang dijangka akan diketahui pada minggu hadapan.
MATA WANG KRIPTO: Dua Rekod Bersejarah Dalam Seminggu
● Dalam masa kurang daripada 24 jam pada 4 Mac, nilai bitcoin bertambah kira-kira 10% dan mencecah paras $69,016. Ini adalah rekod terbaru (bukan yang terakhir) dalam sejarah, melepasi nilai tertinggi sebelum ini iaitu $68,917 yang direkodkan pada 10 November 2021. Nilai bagi kebanyakan daripada 10 aset kripto terkenal juga menunjukkan pertumbuhan antara 10-30% sepanjang minggu lalu.
Lonjakan nilai bitcoin ini dikatakan terjadi akibat pembelian daripada seorang hartawan dari Qatar yang terbang menggunakan jet peribadi beliau ke Madeira untuk menghadiri sidang Bticoin Atlantis yang berlangsung selama tiga hari. CEO Keychainx iaitu Robert Rodin menyatakan bahawa beliau ada ternampak seseorang di lapangan terbang Madeira yang “mampu mengubah nasib bitcoin selamanya”. Penggemar radikal BTC iaitu Max Kaiser kemudiannya berkongsikan satu video di mana Presiden El Salvador iaitu Nayib Bukele menyapa Emir Qatar dengan menyebut “Ia sedang berlaku!"
Apa yang dimaksudkan oleh Rodin dan Bukele masih tidak lagi diketahui. Namun, tindakan itu sudah cukup untuk menghangatkan perbincangan berkenaan Qatar menambah jumlah bitcoin dalam penyata imbang mereka. Ketepatan dakwaan seperti itu masih belum dapat dibuktikan lagi, namun keadaan menjadi huru-hara di rangkaian sosial disebabkan oleh spekulasi yang dikaitkan dengannya. Perlu diketahui bahawa terdapat khabar angin yang menyatakan ada satu atau dua dana kekayaan negara atau syarikat pelaburan dari Timur Tengah membeli bitcoin secara rahsia sudah tersebar sejakl beberapa bulan lalu.
Setelah paras tertinggi dalam sejarah direkodkan, nilai bitcoin jatuh, turun kepada $59,107 pada 5 Mac, dengan pencairan aset secara paksa di pasaran niaga hadapan mencecah $1 bilion. Namun, penurunan ini hanya berlaku sekejap saja kerana golongan jerung membeli sebahagian besar daripada bekalan itu, bukan saja ia kembali mengikuti dinamik pasaran sebelum ini malah juga merekodkan paras tertinggi yang baru: pada 8 Mac, nilai mata wang terunggul itu mencecah $69,972. Ini berlaku kerana kebanyaka peserta pasaran menjangkakan nilainya akan terus berkembang, setidak-tidaknya melepasi paras $100,000.
● Menurut seorang pedagang iaitu Gareth Soloway, pelaksanaan pengurangan penghasilan bitcoin pada bulan April nanti tidak menjamin nilai emas digital ini akan mencapai kadar yang disebutkan tadi. Soloway menyatakan polisi kewangan Rizab Persekutuan AS sebagai faktor penentu. Keengganan Rizab Persekutuan untuk menurunkan kadar faedah secara agresif mampu memberi sokongan kepada keadaan inflasi yang tinggi, dan ia berpotensi menjadi penyumbang kepada trend pertumbuhan bitcoin. “Jika berlakunya peningkatan dalam kadar likuiditi (yang pasti akan berlaku), maka nilai bitcoin akan naik kepada $100,000 pada tahun 2024,” jelas Soloway. Namun, untuk mencapai nilai tersebut, pedagang itu tidak menolak kemungkinan berlakunya pembetulan bearish untuk jangka masa pendek.
● Penganalisis di JPMorgan turut membincangkan tentang kebarangkalian nilai mata wang kripto pertama itu akan susut selepas penghasilannya dikurangkan. Algoritma pengurangan hasil perolehan daripada 6.25 BTC kepada 3.125 BTC akan mengurangkan kadar pulangan penghasilan. Melihat kepada perkara ini, pakar ekonomi di JPMorgan yang diketuai oleh penganalisis kanan iaitu Nikolaos Panigirtzoglou menjangkakan nilainya akan turun kepada $42,000 setelah pengurangan penghasilan dilaksanakan. “Kos penghasilan bitcoin bertindak secara empirik sebagai harga lantai bagi nilainya,” laporan mereka menyebut. “Setelah pengurangan penghasilan dibuat, metrik ini akan menjadi $42,000”. “Pada pendapat kami, pada kadar inilah nilainya akan berada setelah keadaan euforia disebabkan pelaksanaan pengurangan penghasilan pada bulan April berakhir,” maklum penganalisis JPMorgan itu.
● Mengikut model Stock-to-Flow (S2F) yang terkenal, mata wang kripto utama ini sedang mengalami peralihan fasa daripada pengumpulan kepada fasa pertumbuhan. Ciri-ciri fasa pengumpulan adalah kenaikan nilai yang agak stabil, rendah kemeruapan, serta pembetulan sederhana dengan kadar penyusutan maksimum tidak melebihi 22% setelah berakhirnya kitaran. Fasa pertumbuhan pula menunjukkan keadaan berbeza. Data lampau menunjukkan semasa ia bergerak menuju paras tertinggi yang baru, kadar susutnya berada di antara 36% dan 71%. JPMorgan meramalkan nilai bitcoin akan turun ke paras $42,000. Mengikut harga semasa, kadar pembetulannya adalah antara 36-40% jika mengambil nilai paling rendah dalam julat yang disebutkan tadi. Namun, pembetulan sebanyak 70% boleh mengakibatkan nilainya jatuh ke paras lebih rendah.
Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Pada awalnya, untuk meneruskan perniagaan, para penghasil yang jumlah pulangannya dikurangkan kepada separuh akan mula menjual simpanan yang dimiliki. Selepas itu, para pelabur jangka pendek serta berinstitusi yang cuba ingin mendapatkan untung akan turut membuat jualan. Dalam masa yang sama, stop order akan mula dilaksanakan, mengakibatkan keruntuhan sebut harganya. Jika pelabur-pelabur yang telah meletakkan modal mereka di dalam ETF spot BTC juga turut menyertai “kejatuhan kripto” ini, adalah sukar untuk membayangkan di mana paras terendah yang akan dicapai nanti. Perlu diketahui bahawa antara bulan Januari dan Februari, ETF-BTC telah menarik 75% daripada keseluruhan nilai pelaburan di dalam mata wang kripto itu, dan tiada jaminan diberikan jika sentimen panik sebegitu tidak memberi sebarang kesan terhadap pendeposit dana-dana tersebut.
● Pada pendapat ramai penganalisis, bitcoin akan terus berada di dalam trend pertumbuhan untuk jangka masa panjang walau seteruk mana pun penyusutan nilainya. “Kita telah memasuki era kerubut emas bitcoin. Keadaan ini mula berlaku pada Januari 2024, dan kekal sehingga November 2034,” tegas pengasas MicroStrategy iaitu Michael Saylor. Mengikut pengiraan beliau, sehingga tarikh itu, para penghasil mungkin telah menghasilkan 99% daripada kesemua coin, menandakan permulaan kepada “fasa pertumbuhan”. (Mengikut BitcoinTreasuries, 93.5% daripadanya sudahpun dihasilkan sekarang ini).
Saylor percaya bahawa buat masa ini, kira-kira 10-20% pengurus aset telah menunjukkan minat di dalam ETF spot BTC. Pada masa hadapan, setelah halangan ini disingkirkan, jumlah tersebut akan menghampiri 100%. “Apabila mereka [pengurus] boleh membeli BTC menerusi bank, platform, atau broker terkenal, mereka akan membelanjakan $50 juta dalam tempoh satu jam,” jelas beliau. Pengasas MicroStrategy itu turut menyatakan keyakinan beliau bahawa “akan tibanya hari di mana nilai bitcoin akan mengatasi emas dan didagangkan lebih tinggi berbanding ETF S&P 500."
● Pada 15 tahun akan datang, nilai bitcoin boleh naik 64 kali lebih tinggi dan mencapai $10.63 juta. Unjuran ini dibuat oleh Profesor Giovanni Santostasi berdasarkan kepada model hukum tenaga. Menurut saintis berkenaan, model ini memberikan senario perubahan nilai mata wang kripto pertama itu yang lebih jelas dan mudah dijangka untuk jangka masa panjang. Namun, untuk jangka masa pendek, tempoh yang sering menjadi fokus pihak media, sebut harganya adalah huru-hara. Tidak seperti model S2F yang dihasilkan penganalisis terkenal iaitu PlanB, hukum tenaga adalah satu logaritma, bukan eskponen. Dengan kata lain, nilai bitcoin tidak dijangka akan naik berterusan dari semasa ke semasa. Menurut pengiraan Santostasi, nilai emas digital ini akan mencapai nilai kemuncaknya iaitu $210,000 pada Januari 2026, kemudian turun kepada $60,000, dan selepas itu ia meneruskan pertumbuhannya yang bergelora kepada $10.63 juta.
(Sebagai rujukan: Hukum tenaga adalah satu hubung kait matematik antara dua kuantiti di mana perubahan relatif yang berlaku kepada satu kuantiti akan berkadaran langsung dengan perubahan entiti kedua, tanpa mengira nilai awal kedua-dua kuantiti. Manifestasi hukum ini boleh dilihat dalam pelbagai fenomena alam semula jadi, daripada frekuensi gempa bumi sehinggalah perubahan dinamik di pasaran saham.).
● Pada malam Jumaat, 8 Mac, gandingan BTC/USD didagangkan di sekitar paras $68,100. Kadar Indeks Fear & Greed Kripto naik sedikit daripada 80 mata kepada 81 mata, memasuki zon Extreme True. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto adalah sebanyak $2.60 trilion (naik daripada $2.34 juta pada minggu lalu, dengan indeks dominasi mata wang kripto ini berada hampir pada 52%, dan modal pasarannya adalah lebih tinggi daripada $1.35 trilion. Jumlah ini lebih tinggi berbanding modal pasaran mata wang fiat di Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand, UAE, Mexico, dan banyak lagi negara lain. Beberapa hari lalu, nilai modal pasaran BTC adalah lebih tinggi daripada ruble Rusia, berada di tangga ke-14 dalan ranking keseluruhan mata wang terbesar, dengan franc Swiss menjadi pesaing terdekat. Di tengah-tengah berita mengenai jumlah modal pasaran bitcoin lebih tinggi berbanding ruble, jenaka memenuhi internet dengan mengatakan Vladimir Putin adalah Satoshi Nakamoto. Ethereum berada di tangga ke-28, prestasi yang lebih baik berbanding peso Chile namun lebih lemah berbanding lira Turki.
Bagi keseluruhan ranking aset dengan nilai modal pasaran paling besar, termasuklah syarikat-syarikat dan juga logam berharga, bitcoin menduduki tempat ke-10. Kedudukannya itu adalah lebih tinggi berbanding Berkshire Hathaway, syarikat milik hartawan Warren Buffet yang terkenal dengan kritikan beliau terhadap mata wang kripto, namun gagal mengatasi syarikat Meta. Buat masa ini 3 tempat teratas adalah milik emas, Microsoft dan juga Apple.
Bahagian Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali