EUR/USD: Apa yang Tidak Kena Dengan Pemulihan Bertahap di AS?
● Tumpuan utama dalam ulasan kami sebelum ini menyatakan bahawa kadar inflasi enggan turun, manakala kadar KDNK di AS terbantut. Data baru yang diterima mengesahkan perkara-perkara ini. Kadar inflasi penting yang diukur Rizab Persekutuan adalah seperti berikut - Indeks Harga Penggunaan Perbelanjaan Peribadi (PCE) - naik daripada 2.5% kepada 2.7% pada bulan Mac. Indeks PMI ISM dalam sektor Pembuatan melepasi tahap kritikal 50.0 mata, turun daripada 50.3 mata kepada 49.2 mata. Penting untuk ketahui bahawa paras 50.0 adalah nilai ambang yang membezakan sama ada ekonomi mengalami pertumbuhan atau pun menguncup. Dalam keadaan seperti ini, adalah tidak dinasihatkan untuk menaikkan atau menurunkan kadar faedah, dan itulah keputusan yang diambil oleh pihak FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS. Dalam mesyuarat yang diadakan pada hari Rabu, 1 Mei, ahli-ahli jawatankuasa itu sebulat suara membiarkan kadar mereka tidak berubah pada paras 5.50%, merekodkan kadar paling tinggi dalam tempoh 23 tahun dan terus dilaksanakan dalam mesyuarat enam kali berturut-turut.
● Keputusan ini menyamai jangkaan pasaran. Maka, tumpuan lebih besar diberikan kepada sidang akhbar dan juga komen yang diberikan oleh barisan kepimpinan penggubal itu selepas berakhirnya mesyuarat. Ketua Rizab Persekutuan, Jerome Powell menyatakan bahawa kadar inflasi di AS masih lagi tinggi dan tiada jaminan langkah-langkah lanjut untuk mengurangkannya akan diambil kerana tiada sebarang tanda kadarnya susut dalam beberapa bulan ini. Menurut beliau, Rizab Persekutuan benar-benar komited untuk menurunkan kadar inflasi ke paras sasaran 2.0%. Namun, “Saya tidak tahu berapa lama masa yang akan diambil,” Powell akui.
● Hasil mesyuarat FOMC dilihat neutral namun terdapat satu “tanggapan dovish”. Penggubal dasar itu mengumumkan bahawa bermula bulan Jun, mereka akan mula mengurangkan jumlah penebusan sekuriti Perbendahaaran daripada $60 bilion kepada $25 bilion setiap bulan dari penyata imbang mereka. Pengetatan jumlah bekalan wang ini masih belum dianggap sebagai peralihan kepada pelonggaran kuantitatif (QE) namun ia sudah pasti adalah langkah selanjutnya dalam mengurangkan skala pengetatan kuantitatif (QT). Perlu diketahui bahawa perkara ini tidak memberi kesan yang mendalam kepada peserta pasaran.
● Selain membendung inflasi, matlamat utama Rizab Persekutuan yang lain adalah memaksimumkan jumlah tenaga kerja. “Jika inflasi terus menunjukkan kadar yang tinggi dan pasaran buruh pula adalah kukuh, menangguhkan penurunan kadar adalah langkah yang patut diambil,” jelas Powell. Berikutan kenyataan beliau itu, pasaran tidak sabar menunggu laporan penting oleh Biro Statistik Buruh (BLS) yang dijadual akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 3 Mei. Dokumen ini mengecewakan bull dolar kerana jumlah tenaga kerja dalam sektor bukan perladangan (NFP) di AS hany naik sebanyak 175K pada bulan April, terlalu rendah berbanding jumlah pada bulan Mac iaitu 315K dan 238K yang diunjur pasaran. Laporan buruh itu juga menunjukkan pertambahan jumlah pengangguran daripada 3.8% kepada 3.9%. Satu-satunya perkara yang memberi ketenangan kepada Powell dan juga pegawai-pegawai Rizab Persekutuan lain adalah penurunan kadar inflasi gaji - kadar pertumbuhan gaji mengikut jam secara tahunan turun daripada 4.1% kepada 3.9%.
● Ekonomi di Eropah. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Jerman naik daripada 0.4% kepada 0.5% untuk bulan ke bulan. Kadar jualan runcit juga meningkat, daripada -2.7% kepada +0.3% untuk tahun ke tahun. Kadar KDNK di Jerman kini juga sudah berada di kedudukan positif, naik dari -0.3% pada Q1 kepada 0.2%, lebih tinggi berbanding 0.1% yang diunjurkan. Berkenaan dengan keadaan di Eurozone secara keseluruhannya, ekonomi di rantau itu dilihat agak sihat - ekonominya berkembang dan kadar inflasi pula susut. Data awal menunjukkan kadar KDNK untuk Q1 naik daripada 0.1% kepada 0.4% untuk tahun ke tahun dan 0.0% naik kepada 0.3% untuk suku tahunan. Kadar inflasi (CPI) teras susut daripada 1.1% kepada 0.7% untuk bulan ke bulan dan 2.9% kepada 2.7% untuk tahun ke tahun, menghampiri paras 2.0% yang disasarkan.
● Perkara ini mencadangkan bahawa Bank Negara Kesatuan Eropah (ECB) mungkin akan mula menurunkan kadar faedah mereka lebih awal berbanding Rizab Persekutuan. Namun, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan. Jika melihat pada pasaran derivatif, kebarangkalian untuk penurunan pertama kadar faedah dolar pada bulan September adalah kira-kira 50%. Sesetengah pakar ekonomi termasuklah dari Morgan Stanley dan juga Societe Generale malah mencadangkan bahawa Rizab Persekutuan mungkin akan menunda penurunan kadar sehingga awal tahun 2025.
● Setelah laporan tenaga kerja yang lemah di AS dikeluarkan, paras maksimum mingguan direkodkan pada kedudukan 1.0811. Walau bagaimanapun, segalanya kembali tenang sedikit dan gandingan EUR/USD ditutup pada paras 1.0762. Untuk unjuran minggu hadapan, sehingga malam 3 Mei, 75% penganalisis menjangkakan nilai dolar menjadi lebih kukuh, 25% - menjadi lemah. Dalam kalangan pengayun pada D1, keadaan adalah sebaliknya: hanya 25% berada dalam kawasan merah, 60% - berwarna hijau, 15% - kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, keadaannya adalah seimbang: 50% berwarna merah, peratusan yang sama berwarna hijau. Paras sokongan paling hampir untuk gandingan ini berada di zon antara 1.0710-1.0725, kemudian 1.0650, 1.0600-1.0620, 1.0560, 1.0495-1.0515, 1.0450, 1.0375, 1.0255, 1.0130, 1.0000. Zon rintangan berada di sekitar paras 1.0795-1.0805, 1.0865, 1.0895-1.0925, 1.0965-1.0980, 1.1015, 1.1050, 1.1100-1.1140.
● Tiada perkara penting seperti minggu lalu dijangka akan berlaku. Namun, kalendar masih menumpukan kepada hari Selasa, 7 Mei apabila data jualan runcit di Eurozone yang disemak semula akan dikeluarkan, dan hari Khamis, 9 Mei apabila jumlah tuntutan bagi manfaat pengangguran di AS yang biasa diketahui.
GBP/USD: Adakah Gandingan Ini Akan Turun Ke Paras 1.2000?
● Sudah semestinya dolar yang menjadi penentu bagi GBP/USD pada minggu lalu, dan bukan pound. Hal ini terbukti dengan hakikat bahawa gandingan itu tidak terkesan dengan unjuran oleh pihak Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi yang menjangkakan UK akan berdepan dengan kelembapan pertumbuhan ekonomi serta kadar inflasi tinggi dalam kalangan negara-negara G7, kecuali Jerman untuk tahun ini dan tahun hadapan. Kadar KDNK di UK dijangka akan susut daripada 0.7% kepada 0.4% pada tahun 2024 dan untuk tahun 2025 - susut dari 1.2% kepada 1%.
Memberikan komen terhadap unjuran yang agak mengecewakan ini, Menteri Kewangan UK iaitu Jeremy Hunt menyatakan bahawa ekonomi negara itu terus memerangi inflasi dengan kadar faedah yang tinggi, hingga memberi tekanan besar kepada kelajuan pertumbuhan negara.
● Seperti bank-bank negara yang lain, BoE berdepan dengan pilihan yang sukar - memberi keutamaan untuk memerangi inflasi atau menyokong ekonomi negara. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Pakar ekonomi di bank pelaburan Morgan Stanley percaya bahawa perbezaan polisi kewangan antara Bank of England dan Rizab Persekutuan mampu memberi tekanan hebat kepada GBP/USD. Pada pendapat mereka, jika pasaran memutuskan bahawa Rizab Persekutuan akan menolak daripada menurunkan kadar faedah mereka pada tahun ini dan BoE pula memulakan kitaran pelonggaran (sebanyak 75 mata asas pada tahun ini), pound mungkin akan menguji paras 1.2000 sekali lagi.
● Gandingan ini ditutup pada paras 1.2546 minggu lalu. Unjuran median para penganalisis mengenai pergerakannya minggu hadapan benar-benar menunjukkan keadaan tidak menentu: satu pertiga memilih penurunan, satu pertiga - pertumbuhan, dan peratusan yang sama - bergerak secara mendatar. Berkenaan dengan analisis teknikal, dalam kalangan indikator pada D1, 35% menunjukkan penurunan dan 65% pula pertumbuhan. Dalam kalangan pengayun, hanya 10% yang mengesyorkan untuk jual, baki 90% - beli, walaupun satu perempat daripadanya memberi isyarat bahawa gandingan ini memiliki lebihan belian.
Gandingan ini akan berdepan rintangan pada paras 1.2575-1.2610, 1.2695-1.2710, 1.2755-1.2775, 1.2800-1.2820, 1.2885-1.2900. Jika berlakunya penurunan, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2500-1.2520, 1.2450, 1.2400-1.2420, 1.2300-1.2330, 1.2185-1.2210, 1.2110, 1.2035-1.2070, 1.1960, dan 1.1840.
● Jika dinamik GBP/USD untuk minggu lalu bergantung sepenuhnya dengan berita daripada AS, minggu depan akan lebih banyak bergantung dengan perkara yang berlaku di UK. Pada hari Khamis, 9 Mei, Bank of England akan bermesyuarat, dan keputusan polisi kewangan berikutnya akan dibuat, termasuklah perubahan kadar faedah serta jumlah pembelian aset yang dirancang. Sebelum berakhirnya minggu bekerja, hari Jumaat, 10 Mei, data mengenai KDNK negara itu bagi Q1 2024 akan dikeluarkan.
USD/JPY: Minggu yang Benar-Benar Gila
● Pada mesyuarat yang berlangsung 26 April lalu, ahli-ahli Lembaga Bank of Japan (BoJ) sebulat suara mengekalkan kadar faedah utama dan tidak mengubah parameter program QE mereka. Tiada sebarang komen mengejutkan diberikan berkenaan prospek masa depan seperti yang dijangka kebanyakan orang. Sikap berlengah oleh bank negara seperti itu telah memberi lebih banyak tekanan kepada mata wang negaranya, membawa kadar USD/JPY ke paras tertinggi yang baru.
Sebahagian besar ulasan sebelum ini telah dikhaskan untuk membincangkan tentang berapa lemah lagi nilai yen sebelum pihak berkuasa kewangan Jepun mengubah pendirian tunggu dan lihat serta kenyataan yang melegakan kepada langkah sebenar. Kadar USD/JPY telah lama melepasi paras di sekitar 152.00, langkah campur tangan diambil pada Oktober 2022 dan pengunduran berlaku kira-kira setahun kemudian. Kali ini, pakar strategi di Rabobank Belanda menetapkan paras 155.00 sebagai kedudukan kritikal agar pihak Menteri Kewangan dan Bank of Japan memulakan campur tangan mata wang. Paras yang sama turut dinyatakan oleh 16 daripada 21 orang pakar ekonomi yang menjalani kaji selidik Reuters. Baki yang lain menjangkakan tindakan sama akan diambil apabila mencecah paras 156.00 (2 responden), 157.00 (1), dan 158.00 (2). Kami bercadang untuk menaikkan kadar unjuran kepada 160.00, manakala paras 160.30 sebagai titik pengunduran, dan ternyata jangkaan kami tepat.
● Pertama sekali, apabila negara itu menyambut hari kelahiran Hirohito (Maharaja Showa) pada hari Isnin, 29 April, kadar USD/JPY meneruskan lonjakan epic serta sekali lagi memperbaharui paras tertinggi dalam tempoh 34 tahun setelah menduduki paras 160.22. Maka, dalam masa dua hari, kadarnya bertambah lebih daripada 520 mata. Kali terakhir lonjakan yang agresif seperti itu berlaku adalah pada 10 tahun lalu.
Walau bagaimanapun, situasi ini tidak berakhir di situ. Pada hari yang sama, satu impuls pendek yang kuat telah menghantar gandingan ini ke bawah sebanyak 570 mata ke paras 154.50. Lantunan semula berlaku selepas itu, dan pada petang 1 Mei, setelah matahari terbit di Jepun pada keesokan harinya, kedudukannya jatuh lagi - dalam masa sejam, gandingan ini kerugian 460 mata, menghentikan penurunannya hampir pada paras 153.00. Pergerakan seperti itu berlaku setelah keputusan yang agak sederhana diambil Rizab Persekutuan, namun punca utama masih lagi belum jelas kerana tidak banyak mata wang-mata wang utama lain yang menjadi lebih kukuh berbanding dolar pada waktu itu. Sebagai contoh, euro yang naik 50 mata, pound British - 70 mata.
Pergerakan mendadak yang memberi kelebihan kepada yen seperti itu dilihat menyamai pergerakan semasa berlakunya campur tangan mata wang oleh BoJ pada tahun 2022. Walau pun tiada sebarang kenyataan rasmi oleh pihak berkuasa Jepun mengenai campur tangan tersebut, mengikut anggaran Bloomberg, kali ini sebanyak 5.5 trilion yen dibelanjakan untuk campur tangan pada hari Isnin, 29 April, dan mengikut pengiraan Itochu Institute pula, 5 trilion yen lagi dibelanjakan pada 1 Mei.
● Kini timbulnya persoalan: apa langkah seterusnya? Kesan campur tangan yang berlaku pada musim bunga 2022 terus bertahan untuk beberapa bulan - nilai yen sudah mula menjadi lemah lagi pada awal Januari 2023. Maka tidak mustahil dalam beberapa minggu dan bulan lagi, kita akan dapat lihat kadar USD/JPY berada di sekitar paras 160.00.
Kenyataan yang dikeluarkan BoJ setelah tamatnya mesyuarat kali ini menyatakan bahawa “prospek pertumbuhan harga dan ekonomi di Jepun sangat-sangat tidak menentu” dan “polisi kewangan yang longgar akan diteruskan buat beberapa ketika lagi”. Tiada sebab untuk menaikkan kadar faedah Ketika ini kerana kadar inflasi teras di negara itu susut mendadak, turun daripada 2.4% kepada 1.6%. Lebih-lebih lagi pengetatan polisi kewangan boleh memudaratkan ekonomi negara tersebut. Kadar pertumbuhan KDNK kekal menghampiri sifar. Selain itu, hutang negara berjumlah 264% daripada kadar KDNK. (Sebagai perbandingan: hutang negara AS yang sering menjadi perbincangan adalah separuh daripada itu - 129%). Justeru “beberapa ketika” yang disebut dalam kenyataan penggubal dasar itu mungkin akan berterusan untuk beberapa bulan.
Wajar untuk mengingati semula bahawa seorang ahli lembaga BoJ iaitu Asahi Noguchi baru-baru ini ada menyatakan bahawa kenaikan kadar faedah pada masa hadapan mungkin lebih perlahan dan tidak laju seperti rakan-rakan global yang lain, dan adalah mustahil untuk menjawab persoalan jika ada lagi kenaikan untuk tahun ini. Maka nilai yen yang kukuh mungkin akan berlaku dalam dua situasi - campur tangan mata wang serta bermulanya pelonggaran polisi kewangan Rizab Persekutuan.
Menurut pakar ekonomi MUFG Bank Jepun, campur tangan hanya membantu dalam melengahkan masa, bukan memulakan perubahan pergerakan jangka panjang. Bloomberg percaya bahawa campur tangan itu sendiri hanya berkesan jika ia diselaraskan, khususnya dengan AS. Mengikut unjuran penganalisis agensi tersebut, kedudukan USD/JPY pada tahun ini mungkin boleh naik hampir pada paras 165.00, walaupun akan mengambil masa lama untuk melepasi paras 160.00.
● Setelah berakhirnya lonjakan dan penurunan yang menggilakan ini, kadarnya ditutup pada paras 152.96 untuk minggu lalu. Unjuran para penganalisis untuk minggu depan sama seperti yang berlaku kepada GBP/USD, sangat tidak jelas: satu pertiga bersetuju dengan pertumbuhan, satu pertiga - penurunan, dan satu pertiga lagi berpendirian neutral. Instrumen analisis teknikal juga tidak tetap. Dalam kalangan indikator trend pada D1, keseimbangan kekuatan adalah 50% dan 50%. Dalam kalangan pengayun, 50% menunjukkan penurunan (satu pertiga berada di zon lebihan belian), 25% menunjukkan pertumbuhan, dan 25% lagi - mendatar. Pedagang perlu tahu disebabkan kemeruapan yang sangat tinggi; magnitud perbezaan mata mampu mencecah berdozen-dozen. Paras sokongan paling hampir berada di sekitar 150.00-150.80, diikuti dengan 146.50-146.90, 143.30-143.75, dan 140.25-141.00. Rintangan berada pada paras 154.80-155.00, 156.25, 157.80-158.30, 159.40, dan 160.00-160.25.
● Tiada sebarang perkara penting berkenaan keadaan ekonomi Jepun yang dijangka dikeluarkan pada minggu hadapan. Disamping itu, pedagang perlu maklum bahawa hari Isnin, 6 Mei adalah hari cuti di Jepun - mereka menyambut Hari Kanak-Kanak.
MATA WANG KRIPTO: Sasaran BTC Untuk Tahun 2025 – $150,000-200,000
● Dalam ulasan sebelum ini, pada paras manakah penurunan bitcoin akan berakhir. Kita tahun jawapannya sekarang: pada 1 Mei, kedudukannya turun ke paras $56,566. Kali terakhir nilai mata wang kripto ini berada pada paras serendah itu adalah pada akhir Februari 2024.
Sentimen bearish rupa-rupanya naik kerana jumlah dagangan ETF baru di Hong Kong adalah lebih rendah berbanding jangkaan. Sikap optimis berkenaan hal ini mula luntur. Disebabkan itu, modal dana mula dikeluarkan daripada ETF-BTC dagangan bursa di AS. Penganalisis di Fidelity Digital Assets, pengeluar terkemuka dana-dana jenis ini sedar dengan pertambahan minat untuk membuat jualan serta mendapatkan pulangan daripada golongan hodler jangka panjang. Atas sebab itu, Fidelity menyemak semula unjuran jangka sederhana untuk bitcoin daripada positif kepada neutral. Mengikut pemerhatian CoinGlass, pencairan posisi long mencecah $230 juta setiap hari. Satu lagi faktor negatif di pasaran adalah ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang semakin memuncak, sehingga mengakibatkan para pelabur mula menjauhkan diri daripada aset berisiko tinggi. Sebaliknya, mereka mula melabur modal mereka ke dalam instrumen dagangan tradisional. Berdasarkan perkara ini, penerima manfaat untuk bulan Mac-April adalah dolar dan bon Perbendaharaan AS, serta logam berharga.
Penganalisis di Glassnode berharap sentimen bullish akan terus wujud kerana pasaran lebih gemar untuk “beli semasa jatuh”. Walau bagaimanapun, mereka akui bahawa ketiadaan paras sokongan di sekitar $60,000 mungkin akan mendorong kepada penurunan lebih rendah kadar BTC. Pengasas bersama CMCC Crest iaitu Willy Woo menggelar paras $58,900 yang diletakkan pelabur jangka pendek sebagai kritikal. Pada pendapat Woo, setelah kedudukan itu dilepasi, terdapat risiko pasaran akan beralih kepada fasa bearish.
● Maka, pada minggu lalu, kedua-dua garis pertahanan bull ini telah berjaya dipatahkan. Apa yang bakal berlaku selepas ini? Di Glassnode, mereka meletakkan nilai $52,000 sebagai paras terendah. Pengasas syarikat modal teroka Pomp Investments iaitu Anthony Pompliano percaya bahawa nilainya tidak akan turun lebih rendah daripada $50,000. Seorang lagi penganalisis - Alan Santana tidak menolak penurunan ke paras $30,000. Kesemua unjuran-unjuran ini menunjukkan bahawa para pelabur mungkin tidak akan melihat BTC mencapai paras tertinggi dala sejarah yang baru pada beberapa bulan akan datang.
Sebagai contoh, pedagang dan penganalisis terkenal yang juga ketua syarikat Factor LLC iaitu Peter Brandt dengan kebarangkalian sebanyak 25% mengaku bahawa bitcoin sudah pun membentuk satu lagi paras tertinggi (ATH) dalam kitaran sekarang. Perkara ini berlaku pada 14 Mac lalu dengan ketinggian $73,745. Penganalisis merujuk perkara ini dengan konsep “pereputan eksponen”. Konsep ini menerangkan tentang proses penurunan kadar pertumbuhan mengikut peratusan yang malar dalam tempoh tertentu. “Sebelum ini bitcoin sudah pun didagangkan mengikut kitaran dengan tempoh kira-kira empat tahun yang sering dikaitkan dengan proses pengurangan penghasilan. Selepas lonjakan bullish yang pertama, berlakunya tiga kali lonjakan lagi selepas itu, dan kekuatan lonjakan setiap satunya adalah 80% lebih rendah berbanding lonjakan sebelumnya dari segi pertumbuhan nilai,” jelas penganalisis itu.
"Mengikut analisis yang saya buat, saya anggarkan kebarangkalian [berlakunya senario itu] sebanyak 25%. Namun saya lebih percaya dengan laporan yang dikeluarkan pada Februari lalu. […] Pembentukan kitaran ‘sebelum/selepas pengurangan penghasilan’ mencadangkan bahawa trend bullish semasa akan mencapai kemuncaknya pada paras antara $140,000-160,000, pada lewat musim panas/awal musim luruh 2025,” Peter Brandt menjelaskan.
CEO syarikat Quantonomy iaitu Giovanni Santostasi berasa ragu-ragu dengan ketepatan untuk menggunakan teori pereputan eksponen dalam situasi ini. “Kita memiliki data mengenai tiga kitaran jika mengecualikan tempoh sebelum pengurangan penghasilan [yang pertama] dan sebenarnya hanya dua kitaran jika mengambil kira nisbahnya. Semua ini tidak cukup untuk menghasilkan analisis statistik yang bermakna,” Santostasi memberikan komen terhadap kenyataan yang dibuat Brandt. Mengikut model kekuatan kebergantungan yang beliau hasilkan sendiri, paras kemuncak kitaran keempat akan dicapai pada Disember 2025 pada paras ~$210,000.
● Untuk makluman bukan saja Giovanni Santostasi yang mengharapkan lonjakan bull akan terus berlaku dan mencapai kedudukan ATH baru, malah ramai lagi peserta lain dalam pasaran kripto yang menginginkannya. Sebagai contoh, Anthony Pompliano yang disebutkan di atas tadi percaya bahawa dalam tempoh antara 12-18 bulan, coin ini menunggu untuk naik ke paras $100,000 dan berpeluang untuk mencapai $150,000-200,000. Penganalisis di Glassnode iaitu James Check berharap pada tahap ini, kadar BTC akan mencecah nilai $250,000. Peter Brandt sendiri dalam laporan beliau untuk bulan Februari menjangkakan nilai $200,000 sebagai mercu tanda pilihan. Dalam masa yang sama, pakar ekonomi di QCP Capital percaya bahawa masa sekurang-kurangnya dua bulan diperlukan untuk menilai semula kesan pelaksanaan pengurangan penghasilan kali keempat sebelum ini. “Nilai spot hanya bertambah secara eksponen dalam masa 50-100 hari selepas setiap kitaran pengurangan penghasilan yang berlaku sebanyak tiga kali sebelum ini. Jika trend itu berulang semula pada kali ini, masih ada beberapa minggu lagi untuk bull bitcoin menghasilkan posisi long yang lebih besar,” tegas laporan mereka.
● Mengikut CEO Morgan Creek Capital iaitu Mark Yusko, kemunculan dagangan ETF-BTC bursa telah mendorong kepada perubahan permintaan. Namun, kesan penuh daripada faktor ini masih belum lagi dirasai. Menurut ahli perniagaan itu, aliran modal yang besar akan masuk daripada pelabur generasi baby boomer, i.e., mereka yang lahir antara tahun 1946-1964, menerusi akaun pencen yang diuruskan oleh perunding pelaburan. Jumlah modal daripada golongan baby boomer ini dianggarkan sebanyak $30 trilion. “Saya percaya dalam tempoh 12 bulan, $300 bilion akan mengalir masuk ke dalam pasaran kripto - ini adalah 1% daripada jumlah $30 trilion dolar. Malah, itu adalah jumlah wang paling banyak pernah ditukarkan ke dalam bitcoin dalam masa 15 tahun,” Yusko berkongsikan unjuran beliau, menambah lagi bahawa modal yang mengalir masuk itu berpotensi untuk menambah jumlah modal pasaran kripto kepada $6 trilion.
● Satu lagi unjuran telah diberi oleh penganalisis dari Spot On Chain. Menurut kata mereka, model analisis yang mereka bangunkan adalah berdasarkan kepada set data yang meluas. Lebih tepat lagi, ia mengambil kira proses pengurangan penghasilan, kitaran kadar faedah, faktor ETF, aktiviti pelabur modal teroka, dan jualan bitcoin oleh para penghasil. Dengan menggunakan platform kepintaran buatan Vertex AI oleh Google Cloud, Spot On Chain berjaya mendapatkan unjuran nilai BTC untuk tahun 2024-2025.
Mengikut pengiraan mereka, nilai mata wang kripto pertama akan berada pada julat antara $56,000-70,000 untuk bulan Mei-Jun nanti. Ciri-ciri yang ada pada tempoh ini adalah peningkatan kadar kemeruapan. Untuk enam bulan terakhir tahun 2024, dengan kadar kemungkinan sebanyak 63%, nilai BTC akan naik kepada $100,000. “Unjuran ini memberi isyarat bahawa wujudnya sentimen bullish di pasaran, dan akan dibantu dengan jangkaan penurunan kadar faedah [oleh Rizab Persekutuan]. Hal ini boleh meningkatkan lagi permintaan terhadap aset berisiko seperti saham dan bitcoin,” jelas wakil daripada Spot On Chain.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, terdapat “kebarangkalian yang meyakinkan” sebanyak 42% bahawa nilai emas digital ini akan melepasi paras $150,000 pada enam bulan pertama tahun 2025 kerana menjadi kebiasaan untuk mata wang kripto pertama memperbaharui paras tertinggi baru dalam tempoh 6-12 bulan selepas penghasilannya dikurangkan. Jika mengambil kira keseluruhan tahun 2025, kadar kemungkinan nilainya naik kepada $150,000 adalah sebanyak 70%.
● Justeru, seperti unjuran yang disebutkan di atas, julat sasaran utama bagi bitcoin untuk tahun 2025 berada di antara $150,000-200,000. Sudah tentu, semua ini hanyalah ramalan dan tidak semuanya akan menjadi kenyataan, terutama sekali jika mengambil kira pendapat "pasukan pengebumian" yang terdiri daripada Warren Buffett, Charlie Munger, Peter Schiff, dan pengkritik tegar mata wang kripto pertama yang lain. Sementara itu, semasa ulasan ini dibuat, pada malam Jumaat, 3 Mei, kadar BTC/USD naik ke paras $63,000 setelah mengambil kelebihan daripada nilai dolar yang lemah. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $2.33 trilion ($2.36 trilion) minggu sebelumnya). Indeks Fear & Greed Kripto menunjukkan penurunan mendadak - daripada 70 mata kepada 48 mata dan beralih daripada zon Greed ke zon Neutral.
Bahagian Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini bukanlah cadangan atau panduan pelaburan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kerugian wang deposit.
Kembali Kembali