EUR/USD: Persaingan Antara Kadar PMI di Eropah dan AS
● Secara keseluruhan, minggu lalu memihak kepada dolar, namun kelebihan yang berbanding mata wang Eropah yang ada adalah minimum. Jika melihat di mana kedudukan EUR/USD berada pada 15 Mei, gandingan itu kembali menduduki zon yang sama pada 24 Mei, berjaya pulih daripada kerugian yang dialami baru-baru ini. Jika diingat, laporan oleh Biro Statistik Buruh (BLS) AS yang dikeluarkan pada 15 Mei menunjukkan bahawa kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) susut daripada 0.4% kepada 0.3% secara bulanan (m/m), berbanding 0.4% yang diunjurkan. Secara tahunan, kadar inflasi juga turun daripada 3.5% kepada 3.4%. Jumlah jualan runcit menunjukkan penurunan yang lebih ketara, daripada 0.6% kepada 0.0% untuk bulan ke bulan (diunjur 0.4%). Data-data ini menunjukkan bahawa inflasi di negara itu masih mengalami penurunan walaupun menerima tentangan dalam beberapa sektor. Buat masa ini, terdapat perbincangan baru di pasaran mengenai kemungkinan kadar faedah akan diturunkan oleh Rizab Persekutuan seawal musim bunga ini. Disebabkan itu, kadar Indeks Dolar (DXY) turun, manakala kedudukan EUR/USD naik ke atas. Kadar indeks saham S&P 500 dan Nasdaq mencatatkan paras tertinggi.
● Hari Khamis, 23 Mei menjadi hari paling meruap pada minggu lalu. Data awal aktiviti perniagaan di Eurozone menunjukkan kadar yang melebihi jangkaan, mengukuhkan nilai euro serta menolak gandingan ini ke paras 1.0860. Di Jerman, negara yang menjadi penggerak utama ekonomi di Eropah, kadar PMI dalam sektor Pembuatan menunjukkan pertumbuhan daripada 42.5 mata kepada 45.4 mata (diunjur 43.2). Kadar ini masih berada di bawah nilai ambang 50 mata yang membezakan pertumbuhan dan kelembapan ekonomi, namun jelas menunjukkan trend positif. Kadar PMI dalam sektor Perkhidmatan mencecah kedudukan paling tinggi sejak bulan Jun tahun lalu, mencapai kedudukan 53.9 mata berbanding 53.5 yang diunjur dan kadar sebelum ini iaitu 53.2.
Kadar PMI Komposit di Jerman naik daripada 50.6 kepada 52.2 (pasaran mengunjurkan 51.0). Secara keseluruhan, statistik aktiviti perniagaan di Eurozone juga positif. Kadar PMI Komposit itu memperbaharui paras tertinggi selama beberapa bulan, diunjur sebanyak 52.0 mata namun sebenarnya mencecah 52.3 mata (kadar sebelum ini adalah 51.7).
● Walau bagaimanapun, kegembiraan bull euro tidak berpanjangan. Pada hari Khamis, data awal yang sama untuk ekonomi AS telah dikeluarkan. Ia menunjukkan aktiviti perniagaan dalam sektor swasta di negara itu berkembang pada kadar tertinggi dalam tempoh dua tahun. Kadar PMI dalam sektor Pembuatan naik daripada 50.0 mata kepada 50.9 mata, manakala kadar PMI Komposit melonjak daripada 51.3 kepada 54.8 dalam masa sebulan. Unjuran pasaran adalah lebih rendah, menjangkakan paras sebelum ini iaitu 51.3, maka pertumbuhan ketara seperti itu telah mengakibatkan lonjakan kadar DXY kepada 105.05 serta penurunan kadar EUR/USD ke paras 1.0804 disebabkan jangkaan kadar faedah diturunkan pada bulan September semakin berkurang.
Namun kegembiraan bear juga tidak lama. Data KDNK Q1 2024 di Jerman yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 24 Mei menunjukkan ekonomi di negara itu tidak lagi mengalami kemelesetan dan beralih ke zon pertumbuhan. Setelah kadarnya susut sebanyak -0.3%, KDNK di negara itu naik sebanyak 0.5%, menyebabkan pertumbuhan bersih sebanyak +0.2%.
● Akhirnya, setelah mengalami turun dan naik seperti itu, kedudukan EUR/USD kembali ke paras Pivot Point pada seminggu setengah lalu, dan ditutup pada paras 1.0845. Bagi unjuran penganalisis untuk minggu hadapan, sehingga malam 24 Mei, kebanyakan (65%) menjangkakan nilai dolar menjadi lebih kukuh, 20% menjangkakan nilainya lemah, dan baki 15% lagi berpendirian neutral. Semua indikator trend pada D1 adalah berwarna hijau, manakala 60% pengayun juga berwarna hijau. 15% lagi berwarna merah, dan 25% lagi berwarna kelabu neutral. Sokongan paling hampir untuk gandingan ini berada di zon 1.0830-1.0840, 1.0800-1.0810, kemudian 1.0765, 1.0710-1.0725, 1.0665-1.0680, dan 1.0600-1.0620. Zon rintangan berada pada paras 1.0880-1.0895, 1.0925-1.0940, 1.0980-1.1010, 1.1050, dan 1.1100-1.1140.
● Kalendar minggu hadapan tertumpu pada hari Selasa, 28 Mei, apabila kadar Indeks Keyakinan Pengguna AS diumumkan. Pada keesokan harinya, 29 Mei, data inflasi pengguna (CPI) di Jerman akan diketahui. Hari Selasa, 30 Mei, data awal KDNK AS untuk Q1 2024 akan dikeluarkan. Hari bekerja terakhir untuk minggu dan bulan ini mungkin agak rancak. Pada hari Jumaat, 31 Mei, jumlah jualan runcit di Jerman, indikator awal inflasi (CPI) di Eurozone, serta kadar Indeks Penggunaan Perbelanjaan Peribadi Teras di AS akan dikeluarkan. Pedagang juga perlu tahu bahawa pada hari Isnin, 27 Mei adalah hari cuti umum di AS kerana negara itu menyambut Hari Peringatan.
GBP/USD: Tempoh Tidak Menentu Buat Pound
● Prospek bagi mata wang British, serta ekonomi negara tersebut secara keseluruhannya adalah tidak jelas. Keadaan menjadi lebih tak menentu dengan hakikat bahawa pilihan raya parlimen lebih awal telah dijadual akan dilaksanakan pada 4 Julai. Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Rishi Sunak, “ketakstabilan ekonomi yang berlaku hanyalah permulaan. […] Sudah tiba masanya untuk Britain membuat pilihan. […] Keadaan tak menentu memerlukan pelan yang jelas serta tindakan berani”. Namun, masih belum diketahui lagi apa yang dimaksudkan dengan “langkah berani” ini.
● Statistik makro yang dikeluarkan minggu lalu juga tidak menjelaskan apa-apa. Kadar awal bagi PMI dalam sektor Perkhidmatan di UK susut daripada 55.0 kepada 52.9 mata pada bulan Mei, berbanding 54.7 yang diunjurkan. Walaupun kadar ini naik daripada 49.1 kepada 51.3 untuk sektor pembuatan, kadar PMI Komposit berada pada paras 52.8, kedua-duanya adalah lebih rendah berbanding nilai sebelum ini iaitu 54.1 serta 54.0 yang diunjur pasaran.
Seperti data terkini oleh Jabatan Statistik Kebangsaan (ONS) yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 24 Mei, jualan runcit di negara itu menunjukkan penurunan sebanyak -2.3% (bulan/bulan) pada bulan April, berbanding -0.4% yang diunjur serta kadar untuk bulan Mac iaitu -0.2%. Jumlah jualan runcit tahunan turun sebanyak -2.7% berbanding nilai sebelum ini iaitu -0.4%, manakala jualan runcit teras susut sebanyak -3.0% (tahun/tahun) berbanding 0% pada bulan lalu, dengan kesemua kadar-kadar ini berada sangat rendah berbanding unjuran.
● Dalam situasi seperti ini, pendapat para penganalisis mengenai bilakah Bank of England (BoE) akan menurunan kadar faedah mereka juga tidak begitu jelas. Penganalisis di JP Morgan (JPM) terus berpegang dengan unjuran mereka sebelum ini yang menjangkakan penurunan kadar akan dilaksanakan pada bulan Ogos namun tetap berhati-hati, memetik faktor inflasi harga pengguna yang masih tinggi. “Kami tetap dengan ramalan kami […] namun percaya bahawa risiko penurunan kadar faedah sudah jelas akan dibuat nanti. Kini persoalan yang timbul ialah adakah Bank of England akan benar-benar melonggarkan polisi mereka pada tahun ini”. Pakar strategi di Goldman Sachs, Deutsche Bank, serta HSBC juga telah mengubah unjuran penurunan kadar faedah mereka, buat masa ini mengalihkannya daripada bulan Jun kepada bulan Ogos. Namun semua ini hanyalah “buat masa sekarang"...
● Kedudukan maksimum minggu lalu untuk GBP/USD telah direkodkan pada paras 1.2760. Menurut pakar ekonomi di United Overseas Bank (UOB) Singapura, momentum ke atas bagi gandingan ini telah menjadi perlahan, dan kebarangkalian untuk kedudukan pound naik ke paras 1.2800 sudah berkurang. UOB percaya bahawa dalam 1-3 minggu akan datang, mata wang British akan didagangkan dalam julat antara 1.2685 dan 1.2755.
Minggu lalu ditutup pada paras 1.2737. Unjuran median para penganalisis untuk minggu depan adalah seperti berikut: 60% bersetuju dengan penurunan gandingan ini, 20% pertumbuhan ke atas, manakala 20% lagi lebih gemar untuk berpendirian neutral. Bagi analisis teknikal, semua indikator trend dan pengayun pada D1 menunjukkan pertumbuhan, namun satu pertiga daripada pengayun sudah memberi isyarat keadaan lebihan belian. Jika turun lebih rendah, gandingan ini akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2695, 1.2635, 1.2575-1.2600, 1.2540, 1.2445-1.2465, 1.2405, 1.2300-1.2330. Jika mengalami pertumbuhan, gandingan ini akan berdepan rintangan pada paras 1.2760, 1.2800-1.2820, 1.2885-1.2900.
● Tiada sebarang data ekonomi penting di United Kingdom yang dijadual akan dikeluarkan pada minggu hadapan. Namun, perlu diketahui bahawa hari Isnin, 27 Mei adalah hari cuti bank di UK.
USD/JPY: Tenang, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Hanya Tenang!
● Bagi gandingan USD/JPY yang sangat-sangat meruap, minggu lalu boleh dikatakan sangat tenang. Tiada sebarang campur tangan mata wang, dan campur tangan lisan pula adalah seperti biasa - banyak yang diucapkan, hanya sedikit tindakan diambil. Maka, Menteri Kewangan Jepun iaitu Shunichi Suzuki sekali lagi menyatakan kebimbangan beliau tentang kenaikan harga akibat nilai mata wang kebangsaan yang lemah. Menurut Suzuki, salah satu matlamat utama pihak berkuasa kewangan itu adalah untuk mencapai kadar pertumbuhan gaji yang lebih tinggi berbanding inflasi. Tambah Menteri itu lagi, “Namun sebaliknya, jika kadar harga terus tinggi, matlamat tersebut sukar untuk dicapai”. Secara umum, seperti kebiasaannya, kerajaan ini memantau situasi yang dialami dengan rapi, faham dengan segala kerumitan, dan oleh itu … akan terus memerhatikannya.
Berdasarkan kepada polisi kontemplatif ini, walaupun kadar KDNK untuk Q1 susut, Bank of Japan (BoJ) mengumumkan pada hari Khamis, 23 Mei, bahawa mereka membiarkan jumlah pengeluaran bon kerajaan Jepun (JGB) pada kadar sebelum ini. Menurut Gabenor BoJ iaitu Kazuo Ueda, “unjuran ekonomi masih tidak berubah”. Pendapat BoJ mengenai ekonomi global juga tidak banyak berubah. Umumnya, tenang, tuan-tuan dan puan-puan, hanya tenang!
● Berlatarbelakangkan keadaan positif seperti ini, gandingan USD/JPY hanya memberi reaksi kepada hasil perolehan bon Perbendaharaan AS serta dinamik Indeks Dolar (DXY). Disebabkan itu, setelah memulakan tempoh lima hari di sekitar paras 155.70, ia perlahan-lahan naik ke atas dan ditutup pada paras 156.96. Penganalisis di United Overseas Bank (UOB) percaya bahawa jika tekanan ke atas menjadi lemah, pertumbuhan gandingan ini akan menjadi lebih perlahan untuk 1-3 minggu akan datang, manakala sempadan pada paras 157.50 mungkin terbukti sukar untuk dilepasi. Pada pendapat mereka, menembusi serta berada lebih tinggi daripada nilai 157.00 adalah tidak mustahil untuk berlaku, namun gandingan ini mungkin tidak akan mengalami penyatuan pada kedudukan tersebut. Rintangan seterusnya yang berada pada paras 157.50 mungkin sukar untuk diancam. UOB menganggarkan bahawa sokongan akan berada pada paras 156.40, diikuti dengan 156.10. Jika kadar USD/JPY turun dan berada lebih rendah daripada 155.60, ia menunjukkan tekanan ke atas yang sedikit itu sudah menjadi lemah, jelas pakar ekonomi bank itu.
● Bercakap tentang unjuran purata, hanya 20% penganalisis menunjukkan penurunan, 40% lagi menjangkakan pertumbuhan, dan 40% pula menunjukkan pergerakan mendatar. Analisis teknikal jelas bersetuju dengan perkara itu. Maka, 100% indikator trend serta pengayun pada D1 menunjukkan pertumbuhan, dengan 20% daripada pengayun berada di zon lebihan belian. Perlu diketahui bahawa indikator pound British yang berwarna hijau/bergerak ke atas menunjukkan pengukuhannya, namun jika berkaitan yen, ia menunjukkam penurunannya. Maka, kami nasihatkan supaya memberi tumpuan kepada gandingan GBP/JPY, di mana dinamik pergerakannya sangat memberangsangkan baru-baru ini.
Sokongan paling hampir berada di sekitar paras 156.25, diikuti dengan zon dan paras 155.25-155.45, 154.60, 153.60-153.90, 153.00-153.15, 151.85-152.35, 150.80-151.00, 149.70-150.00, 148.40, 147.30-147.60, dan 146.50. Rintangan paling hampir berada di zon 157.20, diikuti dengan 157.80-158.00, 158.45, 159.40, dan 160.20-160.30.
● Untuk perkara yang akan berlaku pada minggu hadapan, kami syorkan untuk memberi tumpuan kepada ucapan Gabenor Bank of Japan iaitu Kazuo Ueda pada hari Isnin, 27 Mei, serta penyiaran data inflasi pengguna (CPI) untuk wilayah Tokyo pada hari Jumaat, 31 Mei.
MATA WANG KRIPTO: Minggu Di Bawah Pengaruh Ethereum
● Untuk tahun 2024, komuniti kripto secara perlahan-lahan mula melupakan istilah “musim dingin kripto”. Walau bagaimanapun, “musim kebangkitan” juga tidak dibincangkan. Setelah penghasilan dikurangkan pada 12 April, pedagang kecil dan golongan spekulator mula menjual coin dalam rizab mereka kerana tidak wujudnya lonjakan bull. Menurut The Block Research, kadar bagi walet BTC yang baru dibuka berada pada jumlah paling sedikit dalam tempoh enam tahun. Namun, para jerung yang membeli emas digital untuk masa hadapan telah menghalang keruntuhan harga sepenuhnya.
Akhir sekali, pada penghujung kalendar musim bunga, kebangkitan dilihat telah berlaku dalam pasaran kripto. Kebangkitan ini berlaku disebabkan oleh polisi kewangan Sistem Rizab Persekutuan (Rizab). Menurut para penganalisis, pertumbuhan menggalakkan dalam pelaburan aset digital adalah respon terhadap laporan inflasi pengguna (CPI) di AS untuk bulan Mei yang memberi kesan positif kepada selera risiko pelabur-pelabur berinstitusi.
Menurut CoinShares, pelaburan dalam dana kripto bertambah sebanyak $932 juta antara 13 dan 17 Mei, setelah modal sebanyak $130 juta mengalir masuk pada minggu sebelumnya. Untuk pertama kali, terdapat aliran masuk modal sebanyak $18 juta ke dalam ETF Grayscale. Pertambahan mendadak pelaburan ETF-BTC, jumlah tertinggi dalam tempoh sembilan minggu ini telah didorong oleh pertumbuhan mendadak nilai bitcoin pada 20-21 Mei yang mencecah $72,000 buat pertama kali sejak 9 April lalu.
● Setelah nilai bitcoin naik lebih tinggi daripada $71,000, nilainya memperbaharui paras tertinggi yang pernah dicatatkan dalam mata wang tempatan bagi beberapa negara di Asia dan juga Amerika Selatan. Menurut CoinMarketCap, di Jepun, nilai BTC mencecah 11.2 juta semasa dagangan bermula pada 21 Mei. Ini adalah pertama kali nilai aset terunggul itu melebihi 11 juta yen. Nilai emas digital tersebut juga berada pada paras tertinggi di Argentina yang mencecah 63.8 juta peso Argentina, tinggi sedikit berbanding nilai maksimum pada 14 Mac lalu.
Di Filipina, nilai satu bitcoin naik kepada 4.18 juta peso untuk seketika, nilai tertinggi sejak pertengahan Mac 2024. Di beberapa negara lain, harga BTC juga menyamai atau hampir mencecah nilai maksimum pada pertengahan bulan Mac: di UK, Australia, Kanada, Chile, Colombia, Mesir, Israel, Norway, India, Korea Selatan, Taiwan, dan Turki.
● Walau bagaimanapun, setelah statistik makro dari Amerika dan Rizab Persekutuan membangkitkan pasaran, ia juga menenangkan keadaan. Apabila statistik aktiviti perniagaan di AS menunjukkan data yang kukuh, gandingan BTC/USD kembali berada di zon sokongan $67,000. Satu lagi sebab (mungkin punca utama) mengapa bitcoin gagal memperbaharui paras tertingginya adalah saingan seteru utamanya, Ethereum yang menarik perhatian para pelabur. (Lebih lanjut di bawah).
● QCP Capital menjangkakan nilai bitcoin akan mencecah $74,000 dan memperbaharui ATH (All Time High) beberapa bulan akan datang. Menurut pakar ekonomi syarikat itu, penerimaan mata wang kripto dalam kalangan pelabur berinstitusi semakin meningkat, dan keadaan ekonomi global yang bertambah baik menghasilkan keadaan untuk modal mengalir masuk ke dalam aset berisiko. Pilihan raya presiden AS yang dijadual akan diadakan pada 5 November 2024 juga memberi kesan positif yang kuat terhadap pasaran mata wang kripto.
● Nilai mata wang kripto terus menjadi kukuh mengikut retorik calon-calon sebelum berlangsungnya pilihan raya bagi meraih undian dalam komuniti kripto, jika mengikut NYDIG, jumlahnya adalah lebih daripada 46 juta penduduk di AS, atau 22% daripada populasi orang dewasa. Haseeb Qureshi, Rakan Pengurusan di Dragonfly Capital percaya bahawa dalam situasi seperti ini, pentadbiran Presiden Joseph Biden akan dipaksa untuk melonggarkan polisi ketat yang dikenakan terhadap industri aset digital tidak lama lagi. Perubahan pendirian sepenuhnya tidaklah dijangka, namun pendirian lebih lembut masih boleh berlaku, jelas Qureshi.
● CNN baru-baru ini telah melaporkan tentang debat antara Biden dan pesaingnya, Donald Trump. Penyandang jawatan presiden itu akan berdepan beberapa soalan sukar mengenai polisi tegas terhadap industri kripto sehingga mengakibatkan modal mata wang kripto mengalir keluar, penutupan syarikat-syarikat besar, serta tuntutan mahkamah berprofil tinggi. Bagi Donald Trump yang menjadikan topik mata wang kripto sebagai senjata untuk pihak lawan, selain daripada serangan mengenai hal ehwal negara, beliau dijangka akan menabur pelbagai janji pra-pilihan raya hingga boleh menjadikan pasaran kripto kucar-kacir. Kemungkinan penyertaan Elon Musk yang rela hati untuk menjadi moderator serta calon bebas iaitu Robert Kennedy Jr. seharusnya memeriahkan debat itu, pusingan pertama dijadual pada 27 Jun, dan pusingan kedua pada 10 September.
● Penerima faedah terbesar pada minggu lalu bukanlah bitcoin tetapi Ethereum. Pada hari Isnin, 20 Mei, media menerima berita bahawa pihak Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC) AS telah meminta syarikat yang memohon untuk melancarkan ETF spot Ethereum untuk mengemaskini Borang 19b-4 dengan kadar segera. Setelah berita ini disiarkan, agensi kewangan Bloomberg dengan serta-merta menaikkan kadar kebangkalian daripada 25% kepada 75% untuk dana-dana itu diluluskan. Berdasarkan hal ini, altcoin utama itu dengan pantas memotong mata wang kripto terunggul dari segi kadar pertumbuhannya.
Tarikh akhir bagi dua permohongan terawal oleh VanEck dan Grayscale adalah pada hari Khamis, 23 Mei. Sejurus sebelum jam X, kadar ETH/USD mencecah $3,947, menunjukkan pertumbuhan hampir 30% dalam masa tiga hari. Menurut Coinglass, jumlah pencairan serta penutupan posisi short secara paksa di bursa kripto adalah sebanyak $340 juta. Sebanyak 78.8 ribu posisi telah dicairkan, dan pencairan terbesar telah dibuat di bursa HTX untuk gandingan ETH/USDT berjumlah $3.1 juta.
● Pihak SEC tidak mengecewakan jangkaan yang dibuat. Pada 23 Mei, mereka telah meluluskan bukan dua tetapi lapan permohonan bagi mengeluarkan ETF spot berasaskan Ethereum dan membenarkan dagangan serta penyenaraian dana-dana ini di bursa. Menurut Ketua Pegawai Undang-Undang di syarikat Variant Investments iaitu Jake Chervinsky, langkah ini menunjukkan “peralihan besar dalam polisi kripto di AS, mungkin lebih penting lagi daripada ETF itu sendiri”. Ia mungkin juga memberi maksud bahawa dengan mengiktiraf Ethereum sebagai satu komoditi, penggubal dasar itu tidak akan mengkategorikan kebanyakan altcoin lain sebagai sekuriti. Menurut Rekt Capital, pasaran sudahpun berada di ambang lonjakan nilai altcoin, dijangka mencapai kemuncaknya pada bulan Julai.
Penganalisis menjangkakan aliran masuk modal yang ketara setelah penyenaraian ETF-ETH dan percaya bahawa berbilion-bilion dolar akan dilaburkan ke dalam derivatif itu pada minggu pertama setelah dagangan bermula. Penganalisis di QCP Capital percaya bahawa kadar altcoin itu boleh naik kepada $4,000 dalam masa terdekat dan lebih tinggi daripada $5,000 menjelang akhir tahun ini.
Unjuran lebih berani telah diberikan oleh pakar ekonomi di Bank Standard Chartered. Mereka menjangkakan aliran masuk modal ke dalam dana-dana seperti itu adalah di antara $15 dan $45 bilion (2-9 juta ETH) dalam tahun pertama. Mengikut keadaan ini, permintaan terhadap dana itu akan mendorong pertumbuhan nilai aset berkenaan kepada $8,000 mengikut kadar bitcoin iaitu $150,000. Lebih-lebih lagi, jika dinamik pasaran adalah positif, menjelang tahun 2025, nilai Ethereum akan mencecah $14,000 dan kadar bitcoin pula akan naik kepada $200,000.
● Sehingga malam Jumaat, 24 Mei, gandingan BTC/USD didagangkan pada paras $69,900, manakala ETH/USD pula pada paras $3,735. Ketiadaan pendorong segera serta penyusutan gandingan ini pada 23-24 Mei boleh dijelaskan dengan hakikat bahawa semua orang yang menginginkannya sudah pun berjaya membeli Ethereum sebelum pihak SEC memberikan keputusan mereka. Jumlah keseluruhan modal pasaran mata wang kripto adalah $2.55 trilion ($2.42 trilion minggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto (Crypto Fear & Greed Index) untuk bitcoin adalah tidak berubah dan kekal berada di zon Greed dengan bacaan 74 mata.
● Bagi mengakhiri ulasan ini, satu unjuran oleh Kepintaran Buatan. Versi GPT-4o terkini oleh OpenAI percaya bahawa nilai bitcoin akan berada di antara $76,348 dan $89,108 pada 1 Ogos 2024 setelah “mengambil kira faktor pasaran semasa dan trend lampau”. Pesaing GPT-4o iaitu model AI antropik Claude 3 Opus telah memberikan unjuran yang lebih optimis, meletakkan julat nilainya di antara $105,072 dan $167,808 pada tarikh yang disebutkan tadi.
Bahagian Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini bukanlah cadangan atau panduan pelaburan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kerugian wang deposit.
Kembali Kembali