Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 08 - 12 Julai, 2024

EUR/USD: AS Tidak Berapa Bagus, Eropah Tidak Begitu Teruk

● Hari Jumaat, 5 Jun, kadar Indeks Dolar (DXY) mencecah paras terendah dalam tempoh tiga minggu, manakala euro pula menunjukkan pertumbuhan nilai mingguan terbesar berbanding dolar dalam tahun ini. Hal ini berpunca daripada prestasi yang kurang memberangsangkan yang ditunjukkan oleh AS dan juga keadaan ekonomi di Eropah yang tidak begitu teruk.

● Statistik mengecewakan daripada sektor swasta oleh ADP (150K berbanding 163K yang diunjur dan 157K sebelum ini) serta peningkatan tuntutan pengangguran berulang (238K berbanding 234K) untuk sembilan minggu berturut-turut memberi petanda pasaran buruh yang lembab. Kelembapan aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan, paling lembab dalam masa empat tahun, serta penurunan Indeks ISM daripada 53.8 kepada 48.8 mata, di bawah nilai 50.0 yang penting menunjukkan bahawa ekonomi di AS tidaklah begitu baik seperti yang dijangka Rizab Persekutuan.

Minit mesyuarat FOMC menyebut bahawa polisi kewangan seharusnya bersedia untuk memberikan respon terhadap isu berkaitan ekonomi, satu sentimen yang disuarakan oleh Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell. Disebabkan itu, data makroekonomi yang suram menambah lagi kebarangkalian kitaran pengembangan monetari serta pemotongan kadar faedah pada bulan September daripada 63% kepada 73%. Pasaran derivatif adalah hampir pasti pemotongan kadar 25 mata asas (bp) sebanyak dua kali akan dilakukan pada tahun 2024, menurunkan kadar faedah daripada 5.50% kepada 5.00%. Hal ini menyebabkan hasil bon Perbendaharaan AS serta kadar DXY jatuh, manakala kedudukan indeks saham dan juga EUR/USD naik. Indeks S&P500 mencatatkan rekod ke-33 untuk tahun ini, dan paras EUR/USD mencecah ketinggian 1.0842 pada 5 Julai.

● Nilai euro diperkukuhkan lagi dengan situasi yang berlaku di Perancis. Parti sayap kiri “New People’s Front” (NFP) serta bloc kerajaan "Together for the Republic" (Ensemble) telah bergabung tenaga bagi menghalang parti sayap kanan daripada mendapat kuasa, dan usaha itu mungkin berakhir dengan kejayaan. Jika parti sayap kanan “National Rally” (RN) gagal meraih majoriti penuh dalam parlimen baru selepas pilihan raya pusingan kedua, tiada konfrontasi berlaku dengan EU atau Frexit (analogi sama seperti Brexit British).

Undian menunjukkan parti sayap kanan akan berjaya mendapatkan antara 190 dan 250 daripada keseluruhan 577 kerusi, dan 289 kerusi diperlukan bagi mendapatkan majoriti penuh. Pusingan kedua pilihan raya akan diadakan pada hari Ahad, 7 Julai, dan jurang dalam gandingan euro mungkin dapat dilihat pada hari Isnin.

● Mata wang euro juga mendapat sokongan daripada Bank Negara Kesatuan Eropah pada minggu lalu, atau lebih tepat lagi, sokongan daripada minit mesyuarat Jawatankuasa Pentadbir untuk bulan Jun. Dari satu segi, 25 daripada 26 orang ahli Jawatankuasa bersetuju dengan pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas. Namun, keputusan ini dibuat dengan beberapa kaveat berkenaan kadar pertumbuhan gaji yang tinggi serta kadar inflasi berterusan, berkeras dan enggan turun ke paras 2.0% yang disasarkan.

Data awal untuk bulan Jun menunjukkan bahawa kadar CPI hanya susut sebanyak 0.1% daripada 2.6% kepada 2.5%, dan kadar CPI Teras kekal berada pada paras 2.9% (tahun/tahun), lebih tinggi daripada 2.8% yang diunjur secara sepakat. Para pegawai ECB berasa bimbang kadar CPI mungkin akan naik disebabkan ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, kenaikan harga bahan api dan bahan mentah, serta lain-lain faktor. Pemotongan kadar mungkin tidak akan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pentadbir ECB pada 18 Julai nanti dan mencadangkan pengembangan monetari hanya akan dilaksanakan sekali pada penggal kedua tahun 2024.

● Data utama dari pasaran buruh AS yang dikeluarkan sebelum berakhirnya hari Jumaat, 5 Julai mampu mengubah kedudukan dolar serta dinamik EUR/USD. Menurut Biro Statistik Buruh (BLS), jumlah penggajian bukan perladangan (NFP) naik sebanyak 206K untuk bulan Jun, lebih rendah berbanding 218K pada bulan Mei tetapi lebih tinggi berbanding 190K yang diunjurkan. Data lain menunjukkan kadar pengangguran naik daripada 4.0% kepada 4.1%, manakala inflasi gaji turun daripada 4.1% kepada 3.9% (tahun/tahun).

● Setelah data ini dikeluarkan, kadar EUR/USD ditutup pada paras 1.0839 minggu lalu. Namun, ini tidak bermakna gandingan itu akan memulakan minggu hadapan pada paras tersebut. Para pedagang memerhatikan dengan teliti tentang pilihan raya Perancis serta situasi politik berkaitan pilihan raya presiden AS pada November nanti. Temubual Biden bersama ABC News pada hari Sabtu, 6 Julai jam 00:00 GMT, masa yang sama ketika pasaran ditutup juga boleh memberi kesan kepada gandingan dolar.

Sehingga petang 5 Julai, unjuran para penganalisis untuk minggu hadapan adalah seperti berikut: 55% menjangkakan kadar gandingan ini akan naik, 45% menjangkakan penurunan. Untuk analisis teknikal, kesemua indikator trend dan pengayun pada D1 memihak kepada euro, walaupun satu perempat daripada pengayun memberi isyarat gandingan ini memiliki lebihan belian. Sokongan paling hampir berada di zon antara 1.0790-1.0805, diikuti dengan 1.0725, 1.0665-1.0680, 1.0600-1.0620, 1.0565, 1.0495-1.0515, 1.0450, dan 1.0370. Zon rintangan berada pada paras 1.0890-1.0915, 1.0945, 1.0980-1.1010, 1.1050, dan 1.1100-1.1140.

● Peristiwa penting untuk minggu hadapan termasuklah testimoni Jerome Powell di hadapan Kongres AS pada 9 dan 10 Julai, data CPI yang dikemas kin idi Jerman dan AS pada hari Khamis, 11 Julai, serta jumlah tuntutan awal pengangguran di AS. Minggu depan akan berakhir dengan data jualan runcit di Jerman dan Indeks Harga Pengeluar (PPI) di AS serta Indeks Sentimen Pengguna University of Michigan.

 

GBP/USD: Nilai Pound Naik Bersama-sama Parti Buruh

● Nilai pound sterling dan saham British naik setelah parti pembangkan bersayap tengah iaitu Parti Buruh berjaya memperoleh kejayaan besar dalam pilihan raya parlimen. Mata wang British itu berjaya mencatatkan perolehan mingguan sebanyak 1% - kadar terbaik sejak tujuh minggu lalu.

Menurut Reuters, Parti Buruh memenangi 337 kerusi daripada 650 kerusi yang dipertandingkan, memberikan majoriti penuh dalam Dewan Rakyat. Perdana Menteri UK iaitu Rishi Sunak mengaku kalah dan mengucapkan tahniah kepada pihak lawan di atas kejayaannya. Kemudian, ketua Parti Buruh selaku Perdana Menteri yang dipilih iaitu Keir Starmer mengisytiharkan bahawa “kami akan memulakan misi pembaharuan negara dan membina semula negara ini” bermula pada hari ini. Starmer akan menggantikan Sunak sebagai Perdana Menteri, menamatkan pemerintahan parti Konservatif selama 14 tahun.

● Pasaran memberikan respon positif kepada keputusan pilihan raya negara itu. Pound menjadi satu-satunya komponen dalam DXY yang menjadi lebih kukuh (sebanyak 0.2%) untuk tahun ini. Komen DBS Bank Singapura, “Selain daripada nilai dolar yang susut, pasaran mengalu-alukan kemenangan Parti Buruh selaku pembangkang. Hal ini akan mengakhiri keadaan ekonomi dan politik yang tak menentu di bawah pemerintahan parti Konservatif berikutan referendum Brexit pada tahun 2016. Ketua parti Buruh iaitu Keir Starmer telah menolak kemungkinan untuk UK menyertai ketiga-tiga bloc - EU, pasaran tunggal, serta kesatuan kastam sepanjang hayatnya. […] Namun, parti Buruh mungkin akan cuba mendapatkan perjanjian dagangan yang lebih menguntungkan dengan mematuhi undang-undang EU dalam sektor tertentu seperti pertanian, makanan, dan bahan kimia."

"Bagi polisi kewangan,” tegas pakar strategi DBS, “pasaran OIS membuat penilaian kebarangkalian sebanyak 62.4% untuk Bank of England (BoE) menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 5.0% pada mesyuarat 1 Ogos nanti”. Walau bagaimanapun, DBS percaya perkara ini tidak akan memberi kesan besar kepada pound, jika kadar kebarangkalian pihak Rizab Persekutuan menurunkan kadar faedah mereka pada bulan September meningkat.

● Gandingan GBP/USD mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 1.2814. Penganalisis dari satu lagi bank Singapura iaitu UOB percaya kemungkinan nilai pound menjadi lebih kukuh telah bertambah. Mereka menyebut bahawa paras rintangan kukuh boleh terhasil di sekitar paras tertinggi bulan lalu iaitu 1.2860. Unjuran median untuk minggu hadapan adalah seperti berikut: 35% penganalisis menjangkakan nilai pound menjadi lebih kukuh serta pertumbuhan gandingan ini, 50% menjangkakan penurunan, dan baki 15% lagi bersikap neutral. Bagi analisis teknikal pada D1, 100% indikator trend berwarna hijau. Dalam kalangan pengayun, 90% berwarna hijau, satu pertiga daripada jumlah itu berada di zon lebihan belian, dan baki 10% lagi berwarna kelabu neutral. Jika turun lebih rendah, gandingan ini akan menerima sokongan pada paras dan zon di antara 1.2735-1.2750, 1.2680, 1.2655, 1.2610-1.2625, 1.2540, 1.2445-1.2465, 1.2405, dan 1.2300-1.2330. Jika berlakunya pertumbuhan, gandingan ini akan berdepan rintangan pada paras 1.2850-1.2860, diikuti dengan 1.2895, 1.2965-1.2995, 1.3040, dan 1.3130-1.3140.

● Antara perkara untuk minggu hadapan, penyiaran data KDNK di UK untuk bulan Mei pada hari Khamis, 11 Julai menjadi tumpuan. Perkara penting berikutnya, seperti yang telah disebutkan tadi, adalah penyiaran laporan inflasi baru di United Kingdom pada 17 Julai.

 

USD/JPY: Kembali ke Tahun 1986

● Yen telah mengalami kerugian lebih daripada 12% berbanding dolar untuk tahun ini disebabkan oleh perbezaan kadar faedah yang besar antara Jepun dan AS. Mata wang itu terus rugi pada awal minggu lalu, mencecah paras tertinggi yang baru dalam masa 38 tahun iaitu 161.94 pada hari Rabu, 3 Julai, tetapi gagal untuk melepasi paras 162.00 disebabkan statistik yang mengecewakan di AS.

Sehingga hari Jumaat, para pegawai kerajaan Jepun enggan berbincang tentang kemungkinan untuk campur tangan. Menurut beberapa penganalisis, mereka mungkin bimbang perkara itu akan menimbulkan kemarahan Amerika Syarikat berikutan kenyataan tegas oleh pihak berkuasa Amerika berkenaan tindakan sama yang diambil baru-baru ini. Walau bagaimanapun, pada 5 Julai, Menteri Kewangan iaitu Shunichi Suzuki sekali lagi menyatakan bahawa pihak berkuasa akan memantau keadaan pasaran saham dan mata wang dengan rapi. Seminggu sebelum itu, beliau berkata bahawa beliau “sangat bimbang dengan pergerakan unilateral dan berlebihan di pasaran forex” dan berharap bahawa “keyakinan terhadap mata wang Jepun masih lagi ada."

● Pakar ekonomi di OCBC Bank menyatakan bahawa “gandingan USD/JPY akan mengikuti perolehan bon Perbendaharaan AS serta nilai dolar. Nilai USD yang lemah serta penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan atau isyarat BoJ untuk menormalkan (kenaikan kadar atau mempercepatkan pengurangan penyata imbangnya) diperlukan bagi mengubah arah pergerakan ke bawah, namun tiada satu pun yang terjadi”. OCBC membuat kesimpulan bahawa laluan paling kurang rintangan bagi USD/JPY mungkin masih lagi ke atas melainkan campur tangan dilaksanakan. “Campur tangan, kegunaan paling baik adalah untuk memperlahankan susut nilai yen, bukan untuk mengubah arah trend,” tambah mereka lagi.

USD/JPY ditutup pada paras 160.78 minggu lalu. Penganalisis di UOB Group sedar bahawa momentum ke atas untuk gandingan ini mula menjadi lemah, tetapi penembusan di bawah paras 160.45 akan menandakan bahawa nilai USD tidak akan menjadi lebih kukuh. Jika gandingan ini melepasi di atas paras 162.00, kedudukan seterusnya yang perlu diperhatikan adalah 163.00. Pakar ekonomi OCBC menjangkakan sasaran lebih tinggi buat USD/JPY pada paras 164.00 dan 164.90, dengan sokongan berada pada paras 160.20, 158.10 (21 DMA), dan 156.90 (50 DMA).

● Kebanyakan pedagang terus berhati-hati, bimbang pihak berkuasa Jepun akan melaksanakan satu lagi campur tangan. 65% penganalisis menjangkakan satu lagi campur tangan dan pergerakan gandingan ini ke bawah, manakala baki 35% lagi menunjukkan pertumbuhan. Dalam kalangan indikator trend pada D1, hanya 10% menunjukkan penurunan, dan selebihnya pertumbuhan. Indikator pengayun adalah 25% berwarna merah dan 75% berwarna hijau.

● Tiada data makroekonomi penting di Jepun dijangka akan dikeluarkan pada minggu depan.

 

MATA WANG KRIPTO: Kembali Kepada 26 Februari

● Lima hari terakhir bulan Jun telah memberikan harapan kepada para pelabur bahawa masa gelap berterusan yang dilalui telah berakhir. Tapi sayang! Pada hari pertama bulan Julai, kekuatan bull mula hilang, dan kadar BTC/USD turun ke bawah semula, dengan mudah menembusi paras sokongan di sekitar $60,000 yang dan jatuh ke paras terendah mingguan iaitu $53,543, kedudukan kali terakhir dilihat pada 26 Februari.

Tidak lama dahulu, pada tahun 1961, Presiden Amerika Syarikat ke-35 iaitu John Fitzgerald Kennedy mengungkapkan satu frasa yang menjadi terkenal: “Victory has a thousand fathers, but defeat is an orphan” yang bermaksud, teman ketawa mudah dicari, teman menangis siapa yang tahu. Maka, ramai “teman ketawa” yang boleh dicari di atas kejayaan bear menewaskan bull, walaupun tidak beribu jumlahnya. Beberapa faktor telah mempengaruhi kejatuhan pasaran kripto.

● Pertama sekali, pelabur berasa kecewa bitcoin telah gagal untuk mencecah paras tertinggi dalam sejarah (ATH) selepas proses pengurangan penghasilan pada bulan April. Disebabkan ganjaran penghasilan dikurangkan, para penghasil BTC terpaksa menjual sejumlah besar coin yang mereka miliki bagi menampung kos operasi. Ada laporan yang mengatakan rizab mereka mencecah jumlah paling rendah dalam masa 14 tahun. Tekanan ke bawah juga berpunca daripada kerajaan Jerman yang mula menjual sejumlah besar bitcoin (kira-kira 50,000 BTC) yang dirampas pihak polis daripada laman penipuan pada bulan Januari lalu.

Penjualan jadi lebih memuncak setelah pengumuman yang dibuat pada 24 Jun menyatakan bahawa pembayaran semula kepada kreditor oleh bursa kripto yang muflis iaitu Mount Gox (Mt.Gox) akan bermula pada awal Julai. Aset-aset ini telah disekat, dan kini sebanyak 162,100 BTC (kira-kira $9 bilion) akan dipulangkan kepada 20,000 orang bekas pelanggan mereka. Menurut kajian K33, pemulangan semula yang dijangka berlaku ini telah memberi tekanan yang lebih besar kepada nilai aset digital. Pedagang beranggapan bahawa kebanyakan penerima akan menjadi lebih cenderung untuk menjual token mereka, disebabkan nilai BTC telah naik dengan eskponen sejak tahun 1994. Keadaan panik sebenar berlaku apabila transaksi ujian dibuat terhadap walet yang ada kaitan dengan Mt.Gox.

Menurut Quinn Thompson, CEO dana lindung nilai kripto Lekker Capital, sebahagian besar pasaran bertanggungjawab terhadap tindakan yang diambil kerajaan Jerman serta bayaran balik kreditor oleh Mt.Gox. Maka, tekanan negatif ini dijangka akan surut perlahan-lahan seperti yang disedari oleh penganalisis Fundstrat iaitu Tom Lee.

● Satu lagi kekecewaan adalah ETF spot bursa Ethereum yang dijangka dilancarkan pada minggu lalu tidak menjadi kenyataan. Pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) AS menolak borang S-1 yang dihantar pemohon, meminta untuk membuat pindaan tambahan sehingga 8 Julai. Justeru, kelulusan mungkin akan diberi pada pertengahan atau lewat bulan ini, itupun jika diluluskan. Akibatnya, para pelabur telah membuat pengeluaran sebanyak $119 juta sejak dua minggu lalu, mencatatkan rekod tertinggi sejak Ogos 2022, mengasingkan Ethereum dalam pasaran kripto.

● Secara keseluruhan, dana dagangan bursa mata wang kripto telah merekodkan jumlah aliran keluar modal tertinggi untuk tiga minggu berturut-turut, dengan kerugian pelaburan berjumlah $1.2 bilion. Kebanyakan daripada kerugian itu adalah berpunca daripada ETF spot Bitcoin di AS, dan separuh daripada modal yang mengalir masuk datang daripada pelabur runcit yang biasanya tidak memiliki perancangan masa panjang serta kesabaran. Kebanyakan golongan jerung juga mula menjual disebabkan ketiadaan isyarat positif. Pasaran saham juga bertindak menentang aset digital. Sejak dua bulan lalu, kedua-dua indeks S&P500 dan Komposit Nasdaq mencatatkan kadar tertinggi dengan konsisten, menggesa sesetengah pelabur untuk mengalihkan modal mereka daripada mata wang kripto kepada saham.

● Walaupun dengan gambaran semasa yang agak suram, kebanyakan penganalisis terus berhati-hati bersikap optimis tentang masa hadapan. Pengasas MN Trading iaitu Michael van de Poppe percaya perubahan arah ke atas akan berlaku dengan penyenaraian ETF Ethereum tidak lama lagi. Seorang lagi penganalisis, Ali Martinez, sedar bahawa pada tahun-tahun sebelum ini, apabila bulan Jun berakhir dengan trend menurun, akan berlaku lonjakan mendadak pada bulan berikutnya: mengikut sejarah, pertumbuhan nilai bitcoin adalah sebanyak 7.42% secara purata. Namun, beliau percaya bulan Julai mungkin akan menjadi lebih mencabar daripada kebiasaan kerana penjualan bitcoin oleh kerajaan Jerman serta bayaran balik kreditor oleh Mt.Gox.

Pemerhatian para penganalisis di Santiment menunjukkan sentimen bullish dan bearish di platform X, Reddit, Telegram, 4Chan, serta rangkaian BitcoinTalk sudah mula hilang, memberi petanda bahawa pedagang sudah hilang minat untuk berdagang. “Kami mentafsir perkara ini sebagai wujudnya perasaan bimbang dan tidak peduli dalam kalangan mereka - satu isyarat yang berpotensi menunjukkan penurunan,” tegas Santiment. “Dalam masa yang sama, perbincangan mengenai penyimpanan mata wang kripto semakin banyak, boleh dijadikan sebagai isyarat positif."

● "Bear masih mengawal keadaan, namun lebihan jualan yang dimiliki bitcoin adalah sangat besar,” jelas penganalisis Willy Woo. Beliau percaya pasaran akan membetulkan keadaan lebihan jualan tersebut, namun dengan keadaan sekarang ini, tiada sebarang petunjuk kepada pertambahan permintaan atau jaminan terhadap trend bullish yang berterusan. Woo menekankan bahawa penembusan garis rintangan pada carta RSI bitcoin mengikut hari akan menghasilkan satu “pemulihan teknikal dan bukan pulih secara fundamental."

Menurut penganalisis di Blockware Intelligence, bitcoin perlu melepasi paras $65,000 untuk menghasilkan lantunan balik. Kedudukan itu adalah sepadan dengan kos pemilikan para pelabur jangka pendek. Buat masa ini, nilai emas digital telah turun dan berada lebih rendah daripada kos keseluruhan yang dikeluarkan pelabur-pelabur jangka pendek buat pertama kali sejak Ogos 2023. “Musim panas lalu, disebabkan keadaan yang hampir sama, nilainya kekal berada dalam trend mendatar untuk dua bulan berikutnya sebelum melonjak sekali lagi,” tambah penganalisis di Blockware Intelligence.

● Pratik Kala, penganalisis di syarikat DigitalX analyst menjangkakan berlakunya penyatuan dan tahap kemeruapan dalam pasaran kripto pada bulan Julai. Beliau berkata, “Bitcoin sedang mencari pemangkin besar yang seterusnya untuk naik ke atas. Sinar cahaya masih belum kelihatan lagi, tapi segalanya boleh berubah apabila pilihan raya AS semakin menghampiri”. Quinn Thompson dari Lekker Capital juga percaya bahawa sentimen “terpaling bearish” sekarang ini akan beransur-ansur hilang. Beliau melihat pilihan raya presiden AS sebagai pemangkin kepada pertumbuhan pasaran kripto, selain daripada peningkatan kadar likuiditi oleh Rizab Persekutuan serta pelancaran ETF spot ETH. Satu lagi sebab untuk pertumbuhannya mungkin adalah pertambahan jumlah pulangan penghasilan. Thompson menjangkakan nilai bitcoin akan mencecah $100,000 menjelang bulan November, manakala Ethereum pula $7,000.

Pengasas Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz memberikan pandangan yang sama seperti Thompson, baru-baru ini menjangkakan nilai bitcoin akan mencecah $100,000 menjelang hujung tahun 2024. Tom Lee dari syarikat Fundstrat mengunjurkan nilai yang lebih tinggi iaitu $150,000.

● Semasa ulasan ini dibuat pada malam Jumaat, 5 Julai, gandingan BTC/USD didagangkan pada kadar $56,400 dan ETH/USD pula pada paras $2,975. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $2.06 trilion ($2.24 trilion minggu lalu). Pasaran mengalami kerugian kira-kira $625 bilion dalam tempoh 30 hari. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto turun daripada 47 mata kepada 29 mata dalam masa 7 hari, bergerak daripada zon Neutral kepada zon Fear.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Penafian: Penulisan ini bukanlah cadangan atau panduan pelaburan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kerugian wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.