Terdapat bermacam-macam cara dan strategi untuk berdagang dalam pasaran kewangan. Apa yang membezakan strategi-strategi itu adalah tahap risikonya serta jenis analisis yang diguna pedagang, fundamental atau teknikal, apakah faktor-faktor yang mereka ambil kira, apakah indikator serta perisian yang digunakan. Sudah pasti, pasarannya juga adalah berbeza (komoditi, mata wang, saham atau kripto) dan aset apakah yang diguna pedagang. Akhir sekali (atau mungkin, pertama sekali) strategi dikategorikan mengikut tempoh masa bagi satu-satu transaksi yang khusus. Tempoh yang diambil ini mungkin antara beberapa milisaat sehinggalah beberapa tahun.
Dagangan Berfrekuensi Tinggi
Kaedah dagangan ini bukanlah sesuatu yang mustahil lagi dengan kecanggihan Robot Penganalisis automatik dan juga Internet berkelajuan tinggi. Walaupun seseorang itu memiliki tahap reaksi super sekalipun masih belum mampu untuk membuat dagangan ini kerana ia mengambil masa kurang daripada sesaat untuk membuka dan menutup order. Hanya robot, iaitu program komputer saja yang mampu untuk melihat turun naik harga yang begitu kecil. Semuanya bergantung pada kualiti algoritma yang ada padanya serta kemahiran yang dimiliki pengekod program tersebut.
Komputer yang laju serta penghantaran maklumat dan arahan juga memainkan peranan penting. Lebih dekat komputer dan pelayan dengan platform dagangan, dan sambungan Internet yang lebih baik, lebih besar peluang anda untuk mendapat pulangan.
Harus diingat juga tidak semua broker menawarkan kaedah dagangan ini. Walaupun anda berjaya menemui broker seperti itu, jangan lupa tentang spread dan juga komisen. Puluhan ribu dagangan sehari mungkin akan menjadikan broker itu lebih kaya, dan bukannya anda.
Urus Niaga Harian: Pipsing
Pertama sekali, apakah maksud urus niaga harian. Ia adalah strategi jangka pendek terhadap semua posisi yang dibuka dan ditutup dalam masa sehari. Jelas bahawa kedua-dua dagangan manual dan dagangan automatik menggunakan robot analisis boleh membuat dagangan ini.
Pipsiping adalah cara paling cepat untuk dagangan dalam urus niaga harian. Sudah pasti, ia bukanlah dagangan berfrekuensi tinggi, tetapi prinsipnya masih lagi sama: untuk mendapatkan untung sekurang-kurangnya beberapa pip (mata) ketika berlakunya turun naik sebut harga dalam jangka masa pendek. Pedagang pipsing mampu melakukan lebih daripada 50 dagangan setiap hari, dagangan antara beberapa saat hinggalah beberapa minit. Dagangan dibuat pada carta minit mahupun carta tick.
Jika bercakap mengenai dagangan manual, beban yang ditanggung pedagang adalah agak besar: memantau sepanjang hari, ditambah dengan keadaan tegang serta keterujaan pada dagangan baru - masa untuk dibuka, pada arah mana, membuat tekaan atau tidak. Memang benar, pada hakikatnya, peranan nasib dan tuah tidak kurang pentingnya dengan analisis teknikal dan juga fundamental. Jangan lupa juga tentang spread dan komisen untuk dagangan ini, pilih instrumen dengan kadar kemeruapan yang tinggi bagi mendapatkan untung terbanyak semasa harganya berubah.
Selain itu, oleh kerana kita sedang membincangkan tentang untung beberapa pip pada setiap dagangan, seseorang pedagang perlu menggunakan leveraj besar untuk mendapatkan pulangan yang lebih banyak. Perkara ini menambah lagi risiko yang lebih besar untuk anda kehilangan deposit. Mengikut statistik, jumlah pedagang yang berjaya berdagang dengan pipsing adalah sangat kecil.
Urus Niaga Harian: Dagangan Singkat (Scalping) dan Dagangan Harian
Untuk pengetahuan, scalp adalah bahagian kulit kepala yang disiat dari kepala musuh dan dijadikan trofi pada zaman purba. Justeru, istilah “scalping” memberi maksud mengambil selapis kecil untung daripada turun naik harga.
Kaedah dagangan ini agak perlahan, tetapi keadaan masih boleh menjadi tegang dan memberi tekanan besar dengan purata sebanyak 10-30 dagangan yang diselesaikan setiap hari. Pedagang mempunyai lebih banyak masa untuk membuat analisis keadaan pasaran mengikut kadar purata ini (termasuklah jangkaan berita dan unjuran, analisis trend, penetapan paras sokongan/rintangan, dll.). Selain daripada perbezaan ini, semuanya hampir sama dengan pips.
***
Baiklah, oleh kerana tidak mahu membincangkan perkara ini di bahagian berasingan, ayuh bercakap tentang dagangan harian, apabila hampir 5-10 transaksi berjaya diselesaikan dalam sehari. Kaedah ini mungkin mudah untuk difahami tanpa sebarang ulasan khusus bagaimana ia berbeza daripada dua kaedah sebelum ini. Kami hanya akan sebutkan tiga faktor saja.
Pertama sekali, semasa membuat analisis terhadap keadaan pasaran, menjadi kebiasaan carta dengan tempoh masa lebih panjang akan digunakan: M5, M15, M30. Kedua, pedagang boleh menggunakan instrumen yang kurang meruap dengan spread dan komisen yang rendah. Ketiga, mereka akan berlindung daripada risiko setelah membuat analisis dengan menggunakan aset yang berkaitan dengan instrumen dagangan utama mengikut korelasi secara terus ataupun songsang.
Dagangan Jangka Sederhana
Pedagang yang menggunakan kaedah ini sering digelar sebagai pelabur jangka pendek jika mereka membuat posisi long. Jika mereka meletakkan posisi short, mereka mungkin akan digelar sebagai anti-pelabur. Namun ada satu lagi nama gelaran yang biasa didengar: bull dan bear.
Sedia maklum bahawa terdapat percanggahan dalam maksud tempoh “purata”. Tidak lama dahulu ia bermaksud tempoh masa antara beberapa bulan hingga beberapa tahun. Namun, kemajuan teknologi yang dicapai pada abad ke-21 telah mendorong kepada hakikat bahawa konsep “strategi jangka sederhana” ini sekarang bermaksud memiliki posisi buka untuk beberapa hari sehingga beberapa minggu, biasanya kurang daripada sebulan.
Kelebihan yang jelas dimiliki strategi itu adalah pedagang tidak perlu memantau harga semasa secara berterusan. Ini memberikan mereka peluang untuk membuat analisis fundamental serta teknikal mendalam yang amat berguna terutamanya untuk pedagang baru yang kurang pengalaman dan juga pedagang berani mati yang tunduk pada emosi.
Seseorang itu mampu untuk memperoleh pulangan ratusan, malah ribuan mata dengan mengikuti trend jangka sederhana. Dalam masa yang sama, pedagang berpeluang untuk “top up” posisi mereka jika berlakunya pelarasan jangka pendek serta penurunan sementara harga tanpa menggunakan leveraj yang besar.
Jelas sekali dalam hal ini bahawa kos spread serta komisen yang dibayar kepada broker adalah lebih rendah berbanding kaedah-kaedah sebelum ini. Walau bagaimanapun, timbul pula kekurangan yang lain: swap, akruan atau operasi pengeluaran untuk meneruskan posisi buka pada keesokan harinya. Jumlahnya mungkin tidak ketara jika hanya menunda satu hari. Namun jika pedagang tidak menutup order mereka selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan, jumlah yang besar akan terkumpul. Justeru, semasa terlibat dengan dagangan jangka sederhana (malah juga dengan dagangan jangka panjang), adalah perlu untuk memilih instrumen dengan swap negatif yang rendah atau (lebih elok lagi) swap positif.
Dagangan Jangka Panjang
Kebanyakan pakar pasaran kewangan percaya bahawa strategi jangka pendek adalah sesuatu yang menyeronokkan untuk pedagang baru. Pedagang profesional lebih banyak melibatkan diri dalam pelaburan jangka panjang. (Cukup dengan mengingati kemampuan lagenda seperti Warren Buffett yang bertahun-tahun menunggu saham yang beliau beli ke atas sesebuah syarikat dengan nilai rendah dan kemudian menjanjikan pertumbuhannya.)
Dagangan seperti ini mungkin boleh dikaitkan dengan pelaburan. Keutamaan pedagang dalam hal ini bukanlah mendapatkan untung dari spekulasi perbezaan kadar tukaran, tetapi menaikkan nilai aset yang dimilikinya, serta untuk mendapatkan dividen ke atas saham dan juga lain-lain sekuriti. (Namun, jika anda ingat seorang lagi lagenda, George Soros, seseorang itu boleh juga menjadi jutawan dalam pasaran bear).
Nampaknya kelebihan yang ada pada dagangan jangka panjang tidak banyak dan situasi mengenainya bergerak agak perlahan. Semua itu tidak benar. Pelbagai situasi yang tidak dijangka dan diramal boleh berlaku sepanjang tempoh itu, termasuklah, sebagai contoh, perubahan mendadak situasi politik, bencana alam ataupun pandemik. Lebih banyak lagi perkara yang boleh berlaku di dunia ini semasa memiliki sesuatu aset berbulan dan bertahun lamanya.
Sudah pasti, dalam dagangan jangka panjang, modal yang agak besar diperlukan, serta tahap kesabaran yang tinggi, dan jangan sesekali merasakan anda boleh menyelesaikan semua masalah kewangan dalam satu percubaan.
***
Kami telah senaraikan pilihan untuk berdagang di pasaran kewangan, dikategorikan mengikut tempoh masa yang berbeza. Setiap kaedah memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ia mampu memberi anda pulangan yang besar, atau anda mungkin akan memahami apa maksud kewujudan terakhir. Oleh sebab itu, sebelum membuat satu (atau lebih) pilihan, kami benar-benar menasihati supaya mempelajari lebih mendalam ilmu dagangan profesional dan juga kemahiran serta menyediakan terlebih dahulu satu jumlah yang sanggup anda biarkan jikalau rugi. Namun, sudah pastinya, kami hanya boleh mengucapkan selamat maju jaya kepada anda.
Kembali Kembali