Sesiapa yang pernah melakukan urusan dagangan pastinya sedar tentang kewujudan kadar kemeruapan. Agak mudah untuk membuat agakan bahawa konsep ini adalah penting kerana ia sering diperkatakan dan dibincangkan di dalam buku teks serta bermacam-macam artikel. Pilihan strategi dagangan, pengursan wang dan seterusnya kejayaan dagangan adalah bergantung kepada kadar kemeruapan. Namun apakah maksudnya? Mari kita lihat dengan lebih lanjut.
Konsep Kemeruapan dalan Istilah Rumit dan Ringkas
Maksud yang paling biasa digunakan dalam buku teks bagi istilah ini ialah: “Kemeruapan adalah sejenis indikator kewangan dan juga konsep dalam pengurusan risiko kewangan paling penting yang mengukur risiko penggunaan sesuatu instrumen kewangan untuk satu tempoh tertentu."
Secara ringkasnya, kemeruapan adalah tahap kestabilan bagi turun naik kadar tukaran sesuatu mata wang atau lain-lain aset: saham, indeks saham, emas, minyak mentah atau mata wang kripto. Jika dalam satu tempoh tertentu, nilai sesuatu aset tidak banyak berubah serta berlaku dalam julat yang telah dijangka, kadar kemeruapannya boleh dianggap rendah. Jika kita mendapati kadar tukaran berubah secara mendadak dan tidak stabil dengan kadar spread yang besar, itulah petanda bagi kadar kemeruapan yang tinggi.
Apabila berlakunya kadar kemeruapan tinggi, carta nilai akan menunjukkan bentuk bar atau lilin Jepun yang besar pada satu arah, atau sebaliknya, perubahan arah trend yang mendadak berulang kali. Kita dapat lihat perkara itu sering berlaku apabila mana-mana berita ekonomi yang penting disiarkan atau jika berlakunya situasi geopolitik tidak menentu.
Kemeruapan rendah menunjukkan pasaran dalam keadaan tenang, bersahaja, atau tidak aktif. Sebagai contoh, situasi ini berlaku semasa menyambut hari Krismas, hari cuti bank atau sebelum berakhirnya tempoh pelaporan, bulanan atau suku tahunan, apabila bank-bank dan tabung-tabung besar merumuskan keputusan semasanya. Pasaran sering menjadi tidak aktif dalam menunggu sebarang penerbitan indikator makro ekonomi yang penting seperti, NFP (non-farm payroll): jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur di AS.
Harus diingat bahawa aktiviti dagangan sama ada terhadap pasangan mata wang khusus atau yang biasa juga berbeza mengikut sesi dagangannya. Sebagai contoh, sesi untuk pasaran Pasifik dikategorikan sebagai yang paling tenang dan agak rendah kadar kemeruapannya. Jumlah dagangan maksimum memuncak apabila sesi pasaran Eropah dan pasaran Amerika bertembung. Kadar aktivitinya mencecah jumlah tertinggi pada masa itu kerana kedua-duanya adalah pasaran terbesar dunia: 70% daripada kesemua transaksi Forex dibuat semasa sesi pasaran Eropah berjalan manakala 80% pula ketika pasaran Amerika berjalan.
Tempoh untuk kadar kemeruapan rendah boleh dilihat dengan jelas pada carta dalam bentuk koridor mendatar yang sempit (biasa digelar sebagai flat). Walau bagaimanapun, keadaan yang tenang, pergerakan yang seragam mengikut trend di sepanjang satu-satu saluran itu juga boleh dianggap sebagai tempoh kadar turun naik yang rendah.
Maka, jelaslah bahawa jika terdapat kadar kemeruapan yang tinggi dan rendah, seharusnya wujud juga kemeruapan biasa (standard) yang memberi maksud purata jarak antara kadar harga tertinggi dan terendahnya bagi sesuatu tempoh masa (hari, bulan atau tahun).
Kemeruapan Lain yang Ada
Kami mengkategorikan kadar kemeruapan mengikut julat turun naik yang rendah, biasa dan tinggi. Namun, berbaloi rasanya untuk kami berikan satu lagi jenisnya. Simon Vine, seorang ahli kewangan dan pakar dalam operasi dagangan dan pelaburan telah membahagikan kemeruapan kepada tiga lagi jenis dalam bukunya "Options. A Complete Course for Professionals”. Jenis-jenisnya adalah:
- Kemeruapan lampau (sama seperti biasa) adalah nilai sebenar yang bersamaan dengan nilai sisihan standard harga aset bagi satu tempoh masa lampau tertentu. Sebagai contoh, kadar kemeruapan lampau bagi pasangan EUR/USD semasa sesi pasaran Asia berjalan adalah sebanyak 61 mata, dan jumlahnya itu menjadi 97 mata apabila sesi pasaran Amerika dan Eropah bertembung. Kadar kemeruapan bagi pasangan GBP/JPY masing-masing adalah 112 dan 145 mata, manakala bagi pasangan AUD/USD pula masing-masing hanyalah sebanyak 38 dan 53 mata.
- Kemeruapan lampau dijangka adalah ramalan kronik bagi kemeruapan dijangka, ia membolehkan anda memahami bagaimana ramalan-ramalan ini adalah betul ataupun salah;
- Kemeruapan dijangka adalah anggaran oleh peserta pasaran bagi kadar kemeruapan pada masa hadapan yang dikira mengikut nilai semasa aset dan mengambil kira semua risiko yang ada.
Jelaslah bahawa daripada ketiga-tiga parameter ini, parameter terakhir adalah yang terpenting untuk seorang pedagang kerana ia yang menentukan strategi untuk digunakan serta masa untuk membuka dan menutup order dagangan. Kemeruapan dijangka bergantung kepada beberapa faktor, termasuklah kemeruapan lampau dan kemeruapan lampau dijangka. Perlu juga untuk mengambil kira keadaan ekonomi serta situasi politik semasa, dan berita-berita yang akan dikeluarkan (statistik makroekonomi, keadaan pasaran, pilihanraya, sekatan dagangan, konflik tegang, dll.). Bagi mendapatkan ramalan yang agak tepat, anda juga boleh menambah analisis teknikal, termasuklah paras sokongan/rintangan yang perlu ditempuhi aset ke dalamnya.
Indikator Kemeruapan dan Flat
Anda boleh lihat di atas bahawa agak sukar untuk membuat ramalan tentang kadar kemeruapan bagi sesuatu instrumen dagangan dengan tepat dan segera. Inilah masanya indikator boleh membantu, dan kebanyakan daripadanya sudah pun sedia terbina di dalam antara muka standard terminal dagangan MetaTrader (MT4). Ini adalah platform paling popular di dunia bertahun-tahun lamanya, dan itulah sebabnya broker NordFX menawarkan terminal ini kepada para pelanggannya.
Indikator kemeruapan boleh dijadikan sebagai alat yang sangat diperlukan untuk anda melihat dengan jelas dan membuat analisis terhadap amplitud turun naik harga sesuatu aset dagangan bagi setiap tempoh masa. Berdasarkan pada analisis ini, ia bukan saja mungkin boleh menentukan trend semasa, malah juga membuat unjuran untuk masa depan, serta mencari titik masuk dan keluar dari pasaran dengan mengambil kira kemerosotan harga yang boleh berlaku. Kami tidak akan jelaskan secara terperinci cara-cara untuk menggunakan indikator-indikator ini (anda boleh carinya di atas talian), namun kami akan sebutkan indikator utama dengan membincangkan cirinya secara ringkas.
ATR (Average True Range) - indikator ini dihasilkan oleh J. Wells Wilder pada tahun 1978 dan ia membolehkan anda menentukan julat pergerakan harga yang sebenar. Nilai rendah indikator ini menunjukkan trend mendatar, nilai tinggi pula memberi petunjuk kepada pergerakan yang membentuk trend baru. ATR agak sesuai digunakan pada sebarang tempoh masa; namun, pada asalnya indikator ini dihasilkan untuk carta harian (D1).
Bollinger Bands adalah satu lagi indikator MT4 yang dibangunkan pada awal tahun 80-an oleh John Bollinger dan ia menunjukkan dengan jelas perubahan kadar kemeruapan dalam Forex dan lain-lain pasaran. Indikator ini adalah berdasarkan kepada Moving Averages yang membentuk satu saluran. Jarak di antara jalur luar menjadi semakin lebar apabila harganya kerap turun dan naik serta trend menjadi kukuh manakala jaraknya menjadi tipis apabila pasaran melalui tempoh penyatuan serta mengikuti trend yang rendah momentumnya. Secara ringkas, jika saluran mengembang, kadar kemeruapan bertambah; jika mengecil, kadar kemeruapan berkurang.
Indikator CCI (Commodity Channel Index) adalah satu pengayun yang dibangunkan oleh Donald Lambert pada tahun 1980 dan juga sedia terbina di dalam MT4. CCI sangat popular kerana ia bukan saja membolehkan anda mengenal pasti arah aliran kitaran bagi pasaran komoditi, malah juga untuk pasaran saham dan Forex. Ia mengukur sisihan harga instrumen kewangan daripada nilai puratanya. Kita boleh bercakap mengenai kenaikan kadar kemeruapan apabila garis indikator ini melepasi paras +100 atau -100.
Satu lagi yang boleh kami sebutkan adalah indikator terkenal seperti Alligator. Memang benar, tidak seperti ATR, Bollinger Bands dan CCI, jenis ini biasanya dianggap sebagai indikator flat. Indikator Alligator adalah berdasarkan kepada 3 Moving Average, apabila ketiga-tiga garis ini berada dalam keadaan ketemu dan tiada sebarang sudut condong yang jelas, ianya bermaksud pasaran didominasi oleh keadaan flat.
Secara umumnya, perlu maklum bahawa terdapat pelbagai jenis indikator flat dan kemeruapan. Ia adalah hasil unik daripada penulis yang membangunkan dan mengubah suai kedua-dua jenis sedia ada. Anda boleh membelinya di sumber-sumber khusus di Internet atau memuat turun secara percuma. Walaupun diletak dengan harga yang tinggi, sesetengah daripadanya mungkin langsung tidak berguna. Sebaliknya, yang percuma boleh memberikan bantuan tidak ternilai kepada anda. Selain daripada indikator itu sendiri, terdapat banyak jenis strategi dagangan yang turut menggunakannya. Namun, sebelum mula menggunakan wang sebenar dalam dagangan, kami seperti biasa sangat-sangat mengesyorkan untuk mencuba strategi-strategi dan indikator-indikator ini dengan mencuba akaun demo percuma NordFX. Agak tidak mustahil untuk anda menggunakan secara optimum hasil kerja mereka terhadap sesuatu aset mengikut keutamaan serta kemahiran dagangan anda. Hal ini akhirnya dapat membantu anda mencapai kejayaan cemerlang dalam pasaran kewangan.
Kembali Kembali