Paras sokongan dan rintangan adalah antara konsep penting dalam dagangan Forex serta lain-lain pasaran kewangan. Ia digunakan dalam bermacam-macam strategi dagangan dan bertindak sebagai asas untuk ratusan malah ribuan indikator dan robot penganalisis. Maka, apakah sebenarnya ia? Mari kita terokai konsep asas serta aspek aplikasi penggunaannya.
Definisi Utama
Paras sokongan dan rintangan bertindak sebagai sempadan bagi julat harga di mana aset didagangkan. Sempadan-sempadan ini bukan saja boleh dipaparkan dalam bentuk garis melintang malah juga garis bercerun melengkung. Apabila pergerakan harga sesuatu aset menghampiri sempadan-sempadan ini, menjadi kebiasaan untuk ia mengubah trajektorinya.
Paras sokongan adalah titik harga di mana jika ianya dicapai, pergerakan nilai aset berkemungkinan akan melantun ke atas kerana para pembeli yang bersikap bullish akan terdesak untuk menghalang ia turun ke paras lebih rendah. Sebaliknya, paras rintangan adalah titik harga di mana penjual bearish melaksanakan kawalan, sering mengakibatkan harganya mengundur dan bergerak ke bawah.
Dalam memberikan definisi-definisi ini, kami dengan sengaja menggunakan istilah seperti ‘sering’ dan ‘mungkin’. Ini kerana perubahan arah harga pada paras-paras itu bukanlah sesuatu yang pasti; ia sesuatu yang mungkin atau mungkin tidak berlaku. Sesuatu harga itu mungkin akan menembusi paras sokongan, meneruskan penurunan dan bukannya melantun ke atas, atau mungkin terus bergerak ke atas apabila tiba di paras rintangan. Kadar kebarangkalian untuk ia melantun atau melepasi paras-paras itu membolehkan kita untuk mengkategorikan sama ada ianya lemah ataupun kukuh. Lebih banyak mengenai perkara ini yang akan dibincangkan dalam bab yang berasingan selepas ini.
Perbezaan Antara Zon dan Paras Sokongan/Rintangan
Sementara paras sokongan dan rintangan boleh dilihat sebagai satu garis khas pada carta, zon rintangan dan sokongan sebaliknya pula mewakili julat harga. Kami percaya ini adalah konsep yang lebih tepat kerana jarang-jarang untuk pergerakan harga mengubah trajektorinya pada satu titik yang khusus. Sebagai contoh, paras rintangan bagi pasangan EUR/USD mungkin berada di kedudukan 1.1500. Namun, harganya bukan saja boleh berubah pada paras 1.1500 malah juga pada kadar 1.1485 (sebelum tiba di garis itu) atau pada paras 1.1515 (penembusan palsu). Sesetengah penganalisis merujuk margin sebanyak ±15 mata ini dengan analogi mekanik sebagai ‘slack’.
Tahap kelebaran zon (saiz slack) adalah pelbagai bergantung kepada sesuatu aset itu (dalam Forex, pasangan mata wang) dan tempoh masa. Pada carta jangka panjang, saiz zon-zon ini adalah lebih lebar, manakala saiznya adalah lebih kecil pada carta-carta jangka pendek. Kadar kemeruapan semasa juga memberi kesan kepada parameter ini. Contohnya, apabila terdapat berita ekonomi penting, keadaan turun naik yang kerap berlaku boleh mengakibatkan saiz zon-zon itu menjadi lebih lebar. Kami akan meneliti dan membincangkan beberapa contoh untuk menggambarkannya
– Pasangan Mata Wang: Bagi pasangan EUR/USD pada carta harian (D1), tahap kelebaran zon rintangan/sokongan adalah antara 20-50 mata. Bagi pound British (GBP/USD) yang sering kali berada dalam keadaan lebih meruap, zon itu adalah lebih lebar, antara 30-60 mata. Zon bagi pasangan USD/JPY sebelum ini adalah agak kecil, antara 15-40 mata. Namun, perbezaan ketara berkenaan polisi kewangan antara Rizab Persekutuan A.S. dan Bank of Japan selepas tahun 2021 telah mendorong kepada peningkatan mendadak kadar turun naik, dan seterusnya melebarkan lagi jurang slack untuk pasangan ini.
– Tempoh Masa: Pada carta harian (D1) mengikut keadaan biasa, kelebaran zon sokongan/rintangan biasanya adalah antara 20 dan 60 mata, bergantung kepada pasangan mata wang. Pada carta setiap jam (H1) pula, zon-zon ini boleh menjadi lebih sempit, berada pada julat antara kira-kira 10 dan 30 mata. Pada tempoh masa yang lebih pendek (M1-M15), zon itu boleh menjadi lebih kecil, antara 5 dan 15 mata.
– Kemeruapan: Sepanjang tempoh keadaan yang meruap, tahap kelebaran zon-zon ini boleh berkembang. Contohnya, apabila berita ekonomi disiarkan, kelebaran zon bagi pasangan EUR/USD boleh menjadi lebih besar antara 70-100 mata atau lebih lagi.
Penting untuk ketahui bahawa contoh-contoh di atas perlu dijadikan sebagai garis panduan dan mungkin berbeza mengikut keadaan pasaran. Pedagang berpengalaman sering menyesuaikan strategi mereka dengan mengambil kira kadar turun naik semasa serta faktor-faktor lain.
Cara Mengenal Pasti Paras Sokongan/Rintangan
Maka, jelaslah daripada perbincangan di atas tadi bahawa konsep sokongan/rintangan sebenarnya adalah gabungan dua elemen - paras itu sendiri serta zon yang berhampiran dengannya. Paras psikologi seperti 1.1000 atau 1.5000 sering digunakan sebagai sokongan/rintangan kerana para pedagang sering meletakkan order beli atau jual berhampiran paras “bundar” ini. Disamping itu, paras dengan jumlah dagangan yang tinggi sering menjadi sokongan/rintangan. Hal ini berlaku kerana sebilangan besar pedagang berminat dengan paras-paras ini dan sanggup untuk melaksanakan dagangan mereka pada kedudukan tersebut.
Kedudukan yang telah diuji beberapa kali dan “mencapai” nilai tersebut lebih dianggap boleh dipercayai. Jika pergerakan nilai telah beberapa kali menghampiri sesuatu paras dan tidak menembusinya, terdapat kebarangkalian yang tinggi kedudukan itu akan menjadi paras rintangan atau sokongan yang kukuh pada masa hadapan.
Jadi, bagaimana paras sokongan dan rintangan boleh dikenal pasti dalam dunia nyata? Cara paling mudah untuk mengenal pasti paras-paras ini adalah menerusi analisis visual pada carta harga. Para pedagang mencari titik pada masa lalu di mana harga aset tersekat dan mengubah pergerakannya. Titik-titik ini berpotensi menjadi paras rintangan atau sokongan. Sering kali juga garis-garis melintang dilukis menerusi titik-titik ini bagi mendapatkan parasnya. Kadang kala garis selari diletakkan pada setiap satunya, membentuk saluran dagangan di mana harga aset bergerak menerusinya. Harus difahami bahawa saluran dagangan bukan saja berbentuk melintang malah juga dalam bentuk cerun. Selain itu, sempadan bagi saluran-saluran ini mungkin adalah garis lurus atau garis melengkung. Untuk membantu dalam menghasilkan paras dan saluran, terminal MetaTrader-4 ada menyediakan pelbagai alatan grafik dan juga indicator khusus.
Paras Sokongan/Rintangan yang Kukuh dan Lemah
Apakah yang membezakan antara paras kukuh dan paras lemah? Persoalan ini adalah penting buat mana-mana pedagang yang melakukan analisis teknikal kerana mereka boleh mempertingkatkan keberkesanan strategi dagangan mereka dengan ketara setelah memahami perbezaannya. Ia dapat membantu mengelak daripada menerima isyarat palsu dan meningkatkan kemungkinan untuk dagangan yang berjaya.
Maka, ini adalah faktor-faktor yang menunjukkan paras yang kukuh:
– Pengesahan Beberapa Kali: Paras yang kukuh sering diuji beberapa kali. Lebih kerap paras itu didudukinya serta menghalang ia ditembusi, paras itu akan dianggap lebih kukuh.
– Jumlah Dagangan: Pertambahan jumlah dagangan boleh dilihat jika sesuatu paras yang kukuh itu dicapai, menunjukkan kadar minat yang tinggi oleh sebahagian besar pedagang.
– Kepentingan Masa Lalu: Paras yang kukuh boleh dikenal pasti menerusi data lampau dan sering bertepatan dengan paras psikologi (cth, nombor bundar).
– Penjajaran Faktor Fundamental: Tahap kekuatan paras sokongan atau rintangan diperkukuhkan lagi jika ia selari dengan indikator fundamental atau berita ekonomi penting.
Paras sokongan atau rintangan yang lemah biasanya tidak kerap diuji dan secara umumnya gagal untuk dicapai. Apabila nilai aset tiba di paras-paras ini, jumlah dagangan biasanya tidak menunjukkan perubahan yang ketara. Lebih-lebih lagi, ia sering kali tidak dicatatkan dalam data lampau dan jarang sekali untuk selari dengan indikator fundamental pasaran, menyebabkan ia lebih terdedah untuk dianggap sebagai gangguan di pasaran.
Indikator bagi Mengenal Pasti Paras Sokongan dan Rintangan
Mari lihat beberapa indikator paling popular yang beroperasi menggunakan prinsip berasaskan analisis statistik pergerakan harga lampau sehinggalah unjuran trend masa hadapan. Bagi mempertingkatkan keberkesanan, pedagang-pedagang berpengalaman sering menggunakan indikator-indikator ini dan menggabungkan setiap satunya atau dengan kaedah atau alat analisis teknikal dan fundamental yang lain.
– Purata Pergerakan (MA). Indikator ini mengagregatkan data harga dalam satu tempoh tertentu dan membundarkannya bagi mengenal pasti sesuatu trend. Jika harga aset lebih tinggi daripada kadar purata pergerakan, ia boleh dianggap sebagai zon sokongan. Jika nilainya lebih rendah, ia akan dijadikan sebagai zon rintangan. Sebagai contoh, purata pergerakan 200 hari sering menjadi paras sokongan kukuh dalam trend bullish.
– Penarikan Fibonacci. Indikator ini menggunakan jujukan matematik Fibonacci bagi menghasilkan garis-garis melintang yang berpotensi untuk dijadikan sebagai paras sokongan dan rintangan. Satu garisan dilukis menerusi dua titik penting (paling tinggi dan paling rendah) pada carta pada paras 23.6%, 38.2%, 50%, 61.8%, dan 100% yang berpotensi untuk dijadikan paras sokongan dan rintangan.
– Pivot Points (PP). Kaedah paling mudah untuk menentukan Pivot Point (PP) telah berdekad-dekad lamanya digunakan di Wall Street. Harga maksimum, harga minimum, dan harga yang ditutup pada satu tempoh tertentu diambil dan dibahagikan kepada 3, menghasilkan nilai PP.
– Bollinger Bands. Indikator ini terdiri daripada tiga garis: garis tengah (MA), dan dua garis luar yang terhasil daripada pengiraan sisihan piawai garis tengah. Garis-garis luar ini bertindak sebagai zon sokongan dan rintangan. Apabila harga aset menghampiri garis di sebelah atas, ia mungkin menunjukkan paras rintangan; sebaliknya, menghampiri garis di sebelah bawah boleh dianggap sebagai paras sokongan.
Strategi Menggunakan Paras Sokongan/Rintangan
– "Beli Murah, Jual Mahal": Pedagang membeli aset apabila harganya menghampiri paras sokongan dan menjualnya apabila harga menghampiri paras rintangan.
– «Dagangan Breakout/Breakdown»: Strategi ini dilaksanakan dengan membuka posisi hanya setelah harganya benar-benar telah menembusi paras sokongan atau rintangan dan telah selamat menduduki paras sama ada di bawah atau di atasnya.
– «Dagangan Bounce»: Pendekatan dagangan ini melibatkan membuka posisi apabila harganya melantun daripada paras sokongan atau rintangan.
– «Strategi False Breakout»: Para pedagang mungkin meletakkan order beli atau jual secara terus pada paras sokongan atau rintangan dengan menjangkakan “penembusan palsu” yang bermaksud perubahan arah pergerakan harga.
***
Kesimpulannya, memahami tentang paras dan zon sokongan dan rintangan, serta kebolehan untuk mengenal pasti dan menggunakannya dengan tepat boleh menjadi sebagai satu alat berkesan bagi mendapatkan pulangan. Namun, seperti kaedah dagangan dalam pasaran kewangan yang lain, ia tidak menjamin 100% kejayaan dan memerlukan analisis teliti, interaksi dengan perkakas lain, serta pengurusan risiko yang berhemah.
Kembali Kembali