Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 22 - 26 Ogos, 2022

EUR/USD: Kembali Menjadi Setara 1:1

  • Pasangan EUR/USD telah bergerak secara mendatar dalam saluran antara 1.0100-1.0270 lebih daripada tiga minggu. Semua percubaan untuk menembusi sempadan atas mahupun bawah berakhir dengan kegagalan. Pergerakan itu berterusan sehinggalah 10 Ogos, apabila kedudukan pasangan ini naik mendadak setelah data kadar inflasi di AS dikeluarkan, mengubah paras 1.0270 daripada rintangan kepada sokongan. Walau bagaimanapun, kegembiraan bull tidak berpanjangan. Hanya dua hari selepas itu, pasangan ini kembali bergerak dalam saluran sebelumnya, turun menembusi sempadan bawah saluran tersebut pada hari Khamis, 18 Ogos, dan mengakhiri minggu pada paras 1.0039. 

    Jadi, seperti yang dijangka oleh kebanyakan penganalisis, nilai dolar dan euro sekali lagi menghampiri kesetaraan 1.0000. Terdapat dua sebab utama yang menjelaskan perubahan arah pergerakan pasangan ini ke bawah. Pertama sekali adalah selera risiko yang berkurangan di pasaran. Kadar inflasi serta krisis bahan api di Eropah semakin meningkat. Kadar indeks harga pengguna (CPI) untuk tahun ke tahun di sana naik daripada 8.6% kepada 8.9% pada bulan Julai. Setakat ini, masih belum ada jalan penyelesaian untuk krisis bahan api akibat sekatan yang dikenakan ke atas Rusia kerana menyerang Ukraine. Ekonomi di China juga dilihat tidak begitu memberangsangkan: jumlah pengeluaran industri (tahun/tahun) susut daripada 3.9% kepada 3.8% sepanjang bulan lalu, lebih rendah berbanding yang diunjur iaitu 4.6%. Jumlah jualan runcit juga turun daripada 3.1% kepada 2.7% (berbanding 5.0% yang diunjur). Melihat kepada perkara-perkara ini, pihak People’s Bank of China menurunkan kadar pembiayaan asas mereka terhadap yuan dengan mendadak, daripada 3.70% kepada 2.75%.   

    Sebab kedua adalah statistik makroekonomi dari AS yang positif serta tahap keyakinan para pelabur mengenai pengukuhan ekonomi di negara berkenaan. Ada pendapat mengatakan bahawa sekarang ini “perkara” utama yang akan menentukan polisi kewangan Rizab Persekutuan adalah keadaan pasaran buruh dan juga kadar inflasi. Kadar pengangguran di AS kekal berada pada 3.6% sejak bulan Mac lalu, satu indikator yang sangat baik. Malah kadar itu menjadi semakin rendah pada bulan Julai, 3.5%. Manakala indikator penting seperti NFP iaitu jumlah bilangan pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur sebenarnya sudah mencecah 528K dan bukannya 250K seperti yang diunjur. Kenaikan ini berlaku walaupun pada hakikatnya jumlah untuk bulan sebelum itu adalah sebanyak 372K. Bagi kadar inflasi, nilainya juga dilihat agak baik di sini. Kadar indeks harga pengguna (CPI) dengan unjuran 0.2% untuk bulan Julai rupa-rupanya berada pada kadar 0.0% (1.3% sebulan yang lalu). Kadar itu turun daripada 9.1% kepada 8.5% (diunjur pada 8.7%) mengikut tahun ke tahun. Kadar asas CPI hanya naik sebanyak 0.3% untuk bulan Julai dan bukan 0.5% seperti yang diunjur (0.7% sebulan yang lalu).

    Bacaan-bacaan ini dengan jelas menunjukkan kadar inflasi semakin menurun setelah pihak Rizab Persekutuan mula memeranginya. Sudah tentu ini bukanlah pengakhirannya, namun kejayaan yang Bank Persekutuan Amerika tunjukkan adalah sangat jelas. Justeru, mungkin agaknya mereka akan melonggarkan polisinya dan tidak akan menaikkan kadar faedah secara agresif seperti yang dilakukan sepanjang dua bulan lepas. Jangkaan-jangkaan seperti inilah yang memainkan peranan terhadap dolar, menaikkan kedudukan pasangan EUR/USD ke paras 1.0368 pada 10 Ogos. Walau bagaimanapun, segalanya kembali normal tidak lama selepas itu. Ketua Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell meyakinkan semua orang bahawa pendirian penggubal dasar itu masih bersifat hawkish. Pasaran membuat kesimpulan yang sama setelah minit mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) untuk bulan Julai dikeluarkan pada hari Rabu, 17 Ogos.

    Bank Persekutuan Amerika dijangka mungkin akan menaikkan kadar semasa mereka iaitu 2.5% kepada 4.0% antara hujung tahun 2022 - awal tahun 2023, dan mungkin naik sehingga 5.0%, kemudian kekal pada kadar itu dengan bertujuan untuk menurunkan kadar inflasi mereka sehingga mencapai sasarannya iaitu 2%. Ini bermakna nilai dolar akan terus kukuh untuk jangka masa yang panjang. Jangkaan ini sekali lagi mendorong pertumbuhan Indeks DXY USD. Berikutan itu, hasil bon kerajaan AS serta nilai sekuriti di negara-negara membangun mula mengalami pertumbuhan, manakala indeks saham (S&P500, Dow Jones dan Nasdaq), mata wang kripto dan lain-lain aset berisiko mula susut nilainya. Setelah percaya dengan kenaikan kadar dan juga prospek dolar, para pelabur mula menjual aset pelindung mereka seperti emas: sebut harga XAU/USD susut sepanjang minggu lalu. 

    Semasa ulasan ini dibuat, pada petang 19 Ogos, hanya 15% daripada penganalisis yang bersetuju dengan pertumbuhan pasangan EUR/USD untuk masa terdekat ini, 25% pula mengunjurkan penurunan, baki 60% enggan memberi sebarang jangkaan. Bacaan indikator pada D1 memberikan isyarat yang lebih jelas. 100% dalam kalangan indikator trend dan juga pengayun memihak kepada bear. Namun, satu pertiga daripada pengayun sudah pun memberi isyarat ia memiliki lebihan jualan.

    Selain daripada sokongan pada paras 1.0030, sasaran terdekat pasangan EUR/USD sudah pastinya paras 1.0000. Jika ia berjaya ditembusi, bear akan mensasarkan paras terendah 14 Julai lalu iaitu 0.9950, lebih rendah lagi adalah zon sokongan/rintangan kukuh tahun 2002 iaitu 0.9900-0.9930. Sasaran terdekat bull adalah untuk kembali ke zon di antara 1.0070-1.0100, kemudian paras dan zon 1.0120, 1.0150-1.0180, 1.0200 dan 1.0250-1.0270. Sasaran yang sedikit jauh berada di zon antara 1.0400-1.0450, 1.0520-1.0600 dan 1.0650-1.0750.

    Perkara penting untuk minggu hadapan termasuklah data PMI Pembuatan di Jerman dan Eurozone yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 23 Ogos. Data bagi jumlah pesanan barangan modal dan juga barangan tahan lama di AS akan diketahui keesokan harinya. Terdapat sejumlah besar maklumat yang akan dikeluarkan pada hari Khamis, 25 Ogos. Pertama sekali, data bagi kadar KDNK di Jerman untuk Q2. Kemudian, minit mesyuarat ECB berkenaan polisi kewangan mereka pula akan diketahui. Akhir sekali, empat laporan utama di AS yang mungkin boleh memberi kesan besar terhadap trend dolar. Data KDNK untuk Q2 dan juga kadar pengangguran akan dikeluarkan pada 25 Ogos, manakala Indeks Penggunaan dan Perbelanjaan Peribadi (PCE) yang dikenali sebagai “indikator inflasi kegemaran Rizab Persekutuan” akan diketahui pada 26 Ogos. Pengeluaran statistik-statistik ini secara kebetulan jatuh pada hari yang sama dengan simposium ekonomi tahunan di Jackson Hole yang berlangsung antara 25-27 Ogos. Pihak berkuasa kewangan AS akan membincangkan tentang masalah ekonomi yang paling utama, dan indikator ini pastinya akan mempengaruhi keputusan-keputusan mereka.

GBP/USD: Unjuran Kelam Pound Terus Menjadi Kenyataan

  • Kedudukan pasangan GBP/USD jatuh lagi setelah para pemimpin Rizab Persekutuan AS menyatakan akan terus menaikkan kadar faedah mereka dengan mendadak. Hal itu dipercepatkan lagi dengan ucapan oleh beberapa orang pegawai Rizab Persekutuan, termasuklah ketua Bank Rizab Persekutuan St. Louis iaitu James Bullard dan rakan sejawatnya dari Bank Rizab Persekutuan San Francisco iaitu Mary Daley. Andaian yang boleh dibuat daripada pendirian hawkish mereka adalah kadar faedah ke atas dolar mungkin akan dinaikkan sebanyak 75 mata asas (bp) pada bulan September untuk kali ketiga berturut-turut. Dalam masa yang sama, ketua Bank Rizab Persekutuan Kansas City iaitu Esther George berkata bahawa pihak penggubal dasar itu akan mengetatkan polisi kewangan mereka sehinggalah benar-benar pasti kadar inflasi telah turun.

    Kenyataan oleh para pegawai rasmi AS itu telah mengakibatkan kedudukan GBP/USD jatuh 344 mata dalam tempoh lima hari daripada 1.2135 kepada 1.1791 dan mengakhiri minggu dengan berada sedikit tinggi pada paras 1.1830. Malah kadar jualan runcit di UK yang mengalami pertumbuhan tanpa disangka sebanyak 0.3% untuk bulan Julai juga tidak dapat membantu pound. Para pembeli di UK lebih banyak berbelanja daripada yang dijangka kerana adanya promosi jualan online. Statistik makro yang lain dilihat agak tidak jelas. Kadar purata gaji, dengan unjuran sebanyak 4.5%, berada pada kadar 5.1%, manakala bilangan permohonan faedah pengangguran turun daripada 28.8K kepada 10.5K sepanjang bulan lalu. Walau bagaimanapun, walaupun keadaan di pasaran buruh bertambah baik sedikit, kadar inflasi di UK adalah melebihi unjuran 9.8% dan mencecah 10.1% (berbanding 9.4% pada bulan lalu). Mengikut unjuran Bank of England, kegawatan ekonomi di negara itu mungkin akan bermula pada Q4 dan akan berterusan lebih daripada setahun.

    Kedudukan GBP/USD turun ke paras terendahnya sepanjang 5 minggu lalu, dan mengikut 30% penganalisis, kedudukannya mungkin akan terus jatuh. 30% penganalisis juga menjangkakan pembetulan ke atas, manakala baki 40% lagi kekal neutral. Bacaan indikator pada D1 adalah sama seperti yang ditunjukkan untuk pasangan EUR/USD: 100% adalah berwarna merah, dan 30% daripada pengayun memberikan isyarat pasangan ini memiliki lebihan jualan. Sokongan terdekat berada pada paras 1.1800, diikuti dengan paras terendah 14 Julai iaitu 1.1759, kemudian 1.1650, 1.1535 dan paras terendah Mac 2020 di zon 1.1400-1.1450. Untuk bull pula, ia akan bertemu dengan rintangan di zon serta paras di antara 1.1875-1.1925, 1.2000, 1.2050-1.2075, 1.2160-1.2200, 1.2275-1.2325 dan 1.2400-1.2430.

    Berkenaan dengan statistik ekonomi di United Kingdom, terdapat data aktiviti perniagaan dalam pelbagai sektor di negara itu yang akan dikeluarkan pada hari Selasa, 23 Ogos. Kadar Indeks Aktiviti Perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan serta Indeks Komposit (PMI) yang mencerminkan tahap aktiviti pengurusan pembelian dalam kedua-dua sektor dalam ekonomi UK akan diketahui.

USD/JPY: Kadar KDNK di Jepun Meningkat, Kadar Yen Jatuh

  • Pertumbuhan kadar Indeks DXY yang menunjukkan nisbah antara dolar AS dengan kelompok enam mata wang asing utama lain, serta peningkatan hasil bon Perbendaharaan AS jelas sekali memberi kesan kepada dinamik pasangan USD/JPY. Bermula pada paras 133.45, pasangan ini naik ke paras 137.22 semasa sesi dagangan mingguan berjalan, dan mengakhirinya pada paras 136.81.

    Data yang dikeluarkan pada hari Isnin, 15 Ogos menunjukkan prospek yang lebih tidak pasti tentang pengetatan polisi kewangan oleh Bank of Japan. Jika ekonomi ketiga terbesar dunia ini susut sebanyak 0.1% pada Q1, ia menunjukkan pertumbuhan stabil 0.5% pada Q2 (kurang sedikit daripada yang diunjur iaitu 0.6%). Untuk tempoh tahun ke tahun, dengan unjuran +2.5%, ekonomi Jepun sebenarnya mengalami pertumbuhan sebanyak 2.2% (terdapat penyusutan sebanyak -0.5% pada suku tahun sebelumnya).

    KDNK adalah indikator makroekonomi utama aktiviti pasaran yang menilai kadar pertumbuhan atau penyusutan ekonomi sesebuah negara. Menjadi kebiasaan kadar pertumbuhan akan menjadi bullish positif, faktor kepada mata wang kebangsaan. Kebiasaannya, tetapi bukan kali ini, daya tarikan sesuatu mata wang ditentukan oleh saiz kadar faedahnya. Mengikut parameter ini, kedudukan yen agak ketinggalan jauh di belakang dolar AS.

    Menurut pakar ekonomi di syarikat kewangan antarabangsa Nordea, “Hakikat bahawa pihak Rizab Persekutuan AS bersama-sama kebanyakan bank-bank negara G10 yang lain terus menaikkan kadar faedah mereka akan memberi tekanan kepada yen Jepun. […] Tanpa sebarang perubahan dalam polisi kewangan yang mungkin dibuat oleh BOJ dalam masa terdekat ini, peluang adalah terbuka untuk nilai yen Jepun sekali lagi mencecah 140 berbanding dolar.” Dalam masa yang sama, menurut pakar strategi dari bank yang lain, Westpac di Australia, pasangan ini mungkin akan turun ke paras 123.00 untuk jangka masa panjang, menjelang hujung tahun 2023.

    Jika beralih ke unjuran median minggu hadapan, keadaannya adalah seperti berikut: 20% penganalisis menjangkakan pertumbuhan pasangan ini, 35% mengharapkan nilai yen mengukuh dan kembali mengikuti trend menurun, baki 45% pula menjangkakan pergerakan mendatar. 100% indikator trend pada D1 menunjukkan pertumbuhan. Bagi pengayun, 90% menunjukkan arah yang sama, manakala 25% daripada sudah berada di zon lebihan belian. Baki 10% pengayun menunjukkan pergerakan mendatar. Sokongan pasangan ini berada pada paras dan zon di antara 135.55-136.00, 134.00-134.25, 132.85-133.00, 131.75-132.00, 131.00. Rintangan berada pada paras 137.45, 137.90-138.40, 138.50-139.00, dan akhir sekali paras tertinggi 14 Julai lalu iaitu 139.38. Sasaran bull seterusnya adalah 140.00 dan 142.00.

    Tiada sebarang statistik penting terhadap ekonomi Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu ini.

MATA WANG KRIPTO: 1 BTC untuk Kereta Bugatti: Angan-Angan atau Realiti?

  • Daripada kebanyakan pertanyaan yang timbul dalam komuniti kripto, terdapat dua soalan utama yang mungkin boleh dibezakan: 1) Siapakah Satoshi Nakamoto? dan 2) Berapakah nilai bitcoin nanti? Persoalan pertama akan dibongkar oleh White Paper Films yang telah mengumumkan tentang pembikinan sebuah filem dokumentari, didedikasikan khas untuk personaliti serta kehilangan misteri pencipta mata wang kripto pertama itu. (Untuk pengetahuan, anda boleh dapati pelbagai maklumat menarik mengenai subjek ini di laman web broker NordFX). Untuk persoalan kedua, seperti biasa, kita akan mencari jawapannya dalam ulasan mingguan kali ini.

    Pertama, ada berita gembira buat mereka yang menunggu lonjakan harga mata wang kripto utama ini. Satu kajian baru yang dijalankan oleh Glassnode menunjukkan bahawa penggunaan rangkaian bitcoin terus bertambah walaupun pasaran kripto mengalami penyusutan: bilangan alamat unik kini mencecah lebih 1 bilion. (Sebagai perbandingan: pesaing utama BTC, ethereum yang memiliki 158 juta alamat unik berada jauh ketinggalan untuk indikator ini).

    Berita gembira No.2. Menurut Arcane Research, para penghasil telah menjual sebanyak 6,500 BTC pada bulan Julai. Jumlah ini adalah 60% lebih rendah berbanding bulan Jun, apabila coin sebanyak 14,600 telah dijual. Kejatuhan pasaran kripto telah menimbulkan pelbagai masalah serius terhadap syarikat penghasilan awam yang telah menambah kapasiti pengeluaran mereka dengan modal pinjaman. Berhadapan dengan krisis, mereka terpaksa menjual coin yang dihasilkan dengan harga lebih rendah bagi membayar semula hutang pinjaman. Bagi sesetengah syarikat, mereka akhirnya memiliki margin untuk selamat dan berjaya meneruskan perniagaan, sesetengah syarikat lain pula jatuh muflis.

    Data untuk bulan Julai memberikan harapan kecil bawah industri ini sedang pulih, dan tekanan yang dihadapi penghasil mula berkurang. Mereka terus menyimpan coin yang dimiliki dengan harapan nilainya akan naik satu hari nanti. Walau bagaimanapun, Arcane Research maklum bahawa 6,500 coin masih lagi banyak berbanding bulan Mei, sewaktu para penghasil mengejutkan pasaran dengan menjual lebih banyak coin berbanding yang mereka hasilkan.

    Berita baik No.3. Beberapa indikator teknikal menunjukkan pertambahan kebarangkalian bitcoin untuk beralih kepada pertumbuhan mampan. Maka, indikator Spent Output Profit Ratio (SOPR) telah merekodkan kadar minimum pada 18 Jun, 2022. Kadar rendah bagi indikator ini hanya berlaku pada Disember 2018 dan juga Mac 2020. Satu lagi indikator, RHODL menunjukkan terdapat penguasaan besar pelabur-pelabur jangka panjang berbanding pelabur jangka pendek. Ini bermakna para pemilik tidak merancang untuk menjual coin mereka dan hanya didorong dengan pertumbuhan pasaran pada masa hadapan.

    Berakhirlah berita gembira untuk minggu ini. Jika diingat semula harga bitcoin turun kepada $17,597 pada 18 Jun, selari dengan kedudukan pada Disember 2020 dan nilai itu adalah hampir 75% lebih rendah berbanding nilai tertinggi dalam sejarahnya iaitu $68,918. Jika diukur dari awal tahun 2022, nilai mata wang kripto utama itu bermula daripada $47,572 pada 1 Januari, dan turun sebanyak 63% pada 18 Jun. Namun, seperti yang ditunjukkan dalam carta, halangan daripada bearish naik mendadak di atas paras $24,000 dan momentum ke atas mula hilang dengan cepat. Maka, paras tertinggi mingguan pada 20 Julai adalah $24,264, $24,435 pada 29 Julai, $24,891 pada 11 Ogos, dan akhir sekali $25,195 pada 15 Ogos. Ini bermakna, trend pertumbuhan masih berlaku, tetapi peningkatan kadar tertingginya adalah kurang daripada 4% sepanjang 4 minggu lalu. Minggu lepas secara umumnya benar-benar mengecewakan para pelabur. 

    Semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 19 Ogos, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $1.028 trilion ($1.155 trilion seminggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto jatuh 9 mata dalam masa tujuh hari daripada 42 kepada 33 dan hampir masuk ke dalam zon Extreme Fear. Pasangan BTC/USD jatuh mendadak lagi dan didagangkan pada kadar $21,095. Terdapat beberapa sebab untuk penurunan ini. Pertama sekali, keinginan pihak Rizab Persekutuan untuk terus menaikkan kadar faedah mereka yang dilihat semakin jelas seperti dalam minit mesyuaratnya. Kedua, terdapat tekanan ke bawah yang kuat kesan daripada penyusutan di pasaran stablecoin. Pertama, coin aUSD telah terjejas, manakala token HUSD yang digunakan di bursa kripto Huobi pula tidak lagi disandarkan kepada dolar pada minggu lalu. Jika ditambah dengan beberapa dana modal mata wang kripto yang jatuh muflis, sikap pesimis yang timbul di pasaran menjadi semakin jelas.

    Penganalisis terkenal yang juga pengasas DataDash iaitu Nicholas Merten maklum bahawa bitcoin dan ethereum kini menunjukkan tanda-tanda ia semakin lemah walaupun dengan kenaikan nilainya dalam beberapa minggu ini. Menurut Merten, hakikat bahawa pasaran saham terlebih dahulu pulih berbanding aset kripto mencadangkan bahawa mata wang kripto mungkin tidak cukup kuah untuk terus membuat pendakian. Jika mata wang kripto terjual lebih cepat berbanding saham semasa nilainya jatuh, maka ia seharusnya juga akan pulih lebih cepat. Namun tiada apa yang pulih buat masa ini.

    Seorang pakar strategi kripto dengan nama panggilan Capo percaya bahawa “ada peluang untuk melihat satu lagi percubaan mata wang kripto utama itu menyerang julat antara $25,400-$25,500.” Walau bagaimanapun, menurut rakan seangkatan beliau di Norhstar & Badcharts, ada kemungkinan bahawa nilai bitcoin boleh mula susut dengan mendadak ke paras antara $10,000-$12,000. Mereka menjelaskan andaian mereka itu dalam temubual bersama Kitco News seperti berikut: “Mengikut carta, harga bitcoin adalah berbentuk lengkung terbalik, berlawanan dengan bentuk cawan… Terdapat beberapa kaedah analisis teknikal yang menunjukkan kadar kebarangkalian akan bertambah sebanyak 70-80% untuk harga bitcoin mencecah paras terendah baru antara $10,000-$12,000 dan terdapat kira-kira 20% ke 30% kemungkinan nilainya akan bertambah.” Mengikut Norhstar & Badcharts, jika nilai bitcoin bertambah, ia mampu mencecah $29,000-$30,000. Menurut mereka, ini adalah paras maksimum yang mampu dicapai nilai BTC sebelum mula menyusut. “Sama ada kita sudahpun berada di paras tertinggi bulanan atau sudah hampir dengannya,” Norhstar & Badcharts berkata.

    Seperti biasa, orang berpengaruh yang membuat pelaburan besar di dalam bitcoin cuba untuk menghapuskan gelombang pesimis itu. Mereka terus meyakinkan semua orang di mana saja mengenai prospek menakjubkan mata wang kripto terunggul itu. Sebagai contoh, Anthony Scaramucci, bekas pengarah komunikasi di White House dan kini ketua syarikat pelaburan SkyBridge Capital cuba mengingatkan semula tentang pengeluaran terhad bitcoin sebanyak 21 juta coin dalam temubual beliau bersama CNBC, dan hal itu akan mengakibatkan “permintaan mengejut dengan bekalan yang sedikit.” Scaramucci percaya bahawa mata wang kripto pertama itu boleh menunjukkan kadar pertumbuhan luar biasa dalam tempoh enam tahun. “Jika benar tekaan kami, apabila nilai bitcoin mencecah $300,000, ia tidak akan menjadi masalah jika anda membelinya pada nilai $20,000 atau $60,000. Masa hadapan adalah milik kami. Perkara tersebut akan berlaku lebih awal berbanding apa saya jangkakan,” kata beliau.

    Pendapat bekas pengarah White House itu turut mendapat persetujuan bekas ketua syarikat Micro Strategy iaitu Michael Saylor. Jika diingat syarikat itu membeli sebanyak 129,698 BTC di bawah pengurusannya. Walaupun sekarang ini mereka mengalami kerugian belum direalisasi yang sangat besar terhadap dagangan tersebut, Michael Saylor berasa yakin pembelian bitcoin itu sebagai aset rizab adalah wajar, dan aset tersebut akan terbukti boleh dipercayai pada masa hadapan. “Kami […] sedar bahawa kami akan berhadapan dengan risiko apabila membeli mata wang kripto pertama itu, namun kami tidak gentar dengannya dan kelak akan menghargai tindakan yang diambil ini,” jelas Saylor. Menurut beliau, kadar turun naik mata wang kripto hanya memberi kesan terhadap pelabur jangka masa pendek serta syarikat-syarikat awam, justeru bitcoin bukanlah untuk semua orang. “Tempoh pelaburan seharusnya mengambil masa sekurang-kurangnya empat tahun. Secara idealnya, ia adalah perpindahan harta daripada satu generasi kepada generasi seterusnya. Metrik yang mengesahkan perkara ini adalah purata pergerakan empat tahun,” jelas beliau.

    Di penghujung ulasan ini, kami berikan satu kenyataan daripada seorang lagi peminat tegar bitcoin. “Saya masih berharap dapat membeli sebuah kereta Bugatti dengan harga 1 BTC,” kata Jesse Powell, CEO bursa kripto Kraken. Melihat kepada kos sebuah kereta sport Bugatti yang mampu mencecah $5 juta dolar, angan-angan beliau itu agak sukar untuk menjadi kenyataan: “hanya” perlu menunggu nilai bitcoin naik sebanyak 250 kali ganda.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.